IPOH: Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Bhd) bagi menjamin kemudahan kewangan pinjaman perumahan sehingga RM300,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam Dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, bagi mengatasi kesukaran golongan sasar memiliki rumah.

Menurut beliau, kemudahan kewangan itu diberikan oleh institusi-institusi kewangan yang turut terlibat dalam skim itu.

“Kerajaan sedar akan kesukaran yang dialami mereka yang tidak berpendapatan tetap dalam mendapatkan kemudahan kewangan bagi membeli rumah kediaman mereka,” katanya ketika menjawab soalan lisan Yahaya Mat Nor (Amanah – Pasir Panjang) di siding Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, di antara institusi-institusi kewangan yang terlibat dengan SJKP Bhd ialah Bank Islam Malaysia Berhad; Bank Simpanan Nasional Berhad; Bank Rakyat Berhad; Alliance Bank Berhad; Maybank Berhad; Ambank Berhad; Affin Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad

Yahaya di dalam soalannya memohon kerajaan negeri menyatakan adakah pihak kerajaan boleh memberi jaminan kepada pihak bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada pihak yang berpendapatan rendah atau golongan sasar miskin bandar dan luar Bandar.

Menjawab soalan tambahan Salbiah Mohamed (BN – Temengor), Paul Yong menjelaskan, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian subsidi kepada golongan sasar, khususnya yang melibatkan rumah mampu milik.