IPOH: Kerajaan negeri Perak mahu menubuhkan unit pelancongan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi melonjakkan lagi industri pelancongan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan negeri, YB Tan Kar Hing berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Yang Dipertua-Yang Dipertua PBT minggu hadapan bagi menyusun semula produk pelancongan dan membincangkan produk-produk baharu.

“Produk pelancongan di Perak memang banyak, tetapi ada banyak lagi yang kita belum promosikan, itu sebab saya nampak ada keperluan kita tubuhkan unit-unit pelancongan di bawah PBT.

“Supaya kita boleh selaraskan segala informasi atau keperluan produk-produk pelancongan di daerah masing-masing dan kita harus memanggil mesyuarat dengan lebih kerap untuk menyelesaikan masalah asas yang timbul,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib.

YB Tan berkata, Perak menjuarai semula sektor pelancongan di negeri ini, yang pernah mencatat kedatangan pelancong domestik tertinggi selama empat tahun berturut-turut pada 2012 – 2015.

Menurut beliau, Perak jatuh ditangga kedua selepas Johor pada 2016 dan di belakang Pahang pada 2017.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah pelancong domestik ke Perak tahun lalu meningkat sebanyak 437,400 orang atau 5.7 peratus kepada 7.6 juta, berbanding 7.2 juta tahun 2016.

Beliau mengakui, peningkatan ketara itu antara lain disebabkan kejayaan Tahun Melawat Perak 2017 yang melibatkan 72 acara utama dan 120 acara sampingan di samping kewujudkan produk pelancongan baharu seperti MAPS, Balai Gambang, Funtasy House, TT5 dan Victoria Bridge.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan itu, sebaliknya kita akan terus berusaha untuk menjuarai sektor pelancongan di negara ini.

“Tambahan pula, sektor pelancongan mampu menjana pendapatan yang tinggi untuk negeri dan saya akan meminta peruntukan tambahan daripada Menteri Besar,” ujar beliau.

Dalam pada itu, YB Tan memberitahu, selain daripada dua program utama yang akan dilaksanakan iaitu Sambutan Ambang Kemerdekaan dan Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri, beberapa program lain akan dilaksanakan.

Antaranya, tambah beliau, ialah perbincangan dengan pihak Perbadanan Aset Keretapi untuk mengenalpasti aset perbadanan itu yang boleh dimajukan sebagai produk pelancongan dan acara samping sempena Sukan Malaysia (SUKMA) pada September ini.