IPOH: Kerajaan negeri Perak turut memberi peluang kepada pegawai muda untuk mengikuti lawatan kerja keluar negara bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dan pengetahuan berguna.

 Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu telah digunakan sejak beberapa tahun lalu.

“Kita beri peluang kepada pegawai muda supaya mereka juga boleh belajar untuk memperbaiki lagi pembangunan di Perak,” katanya ketika berucap di Majlis Jasamu Dikenang di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Majlis itu meraikan 291 pesara bagi tempoh Januari – Jun 2016 dan beberapa pegawai yang bertukar ke negeri lain kerana kenaikan pangkat.

Setiap pesara menerima insentif bernilai RM3,000 dalam bentuk Sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bumiputera manakala bukan bumiptera menerima Sijil Simpanan Premium (SSP).

Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah bersama-sama membantu membangunkan negeri Perak sehingga sampai ke tahap sekarang.

Beliau berharap mereka akan terus bekerja, walaupun dalam bentuk apa sekalipun, di samping memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Jangan apabila bersara, kita bersara segala-galanya, termasuk akal dan kudrat… berilah sumbangan dalam apa bentuk sekalipun, pastikan sentiasa berfikir dan bergerak,” ujarnya.