GOPENG: Kampung Karyawan Malim (PKM) di Lembah Gua Tempurung, Perak satu-satunya perkampungan di rantau Asia Tenggara yang mengumpulkan para karyawan tempatan dan antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perkampungan sastera seni budaya seluas 20 ekar itu diwujudkan untuk memberi ruang kepada karyawan semua genre menterjemahkan idea dan seni mereka bersama masyarakat dalam dan luar negara.

Menurut beliau, perkampungan yang mempunyai 13 rumah tradisional itu juga akan menjadi tempat berkumpul penggiat-penggiat seni tanah air dan juga seluruh dunia untuk berkongsi seni masing-masing.

“Kita ingin melihat anak-anak Perak yang sudah menjadi ikon pulang dan terjemahkan idea-idea mereka di sini, tunjukkan seni mereka tidak mengira genre.

“Perkampungan ini merupakan sesuatu yang sangat unik dan kreatif, saya boleh katakan di dunia ini hanya ada beberapa perkampungan seperti ini diwujudkan,” kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan perkampungan tersebut di sini pada Sabtu.

karyawan-malim 3

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Pengerusi Yayasan Kampung Karyawan Malim, Malim Ghozali PK dan kartunis terkenal Datuk Lat.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu perkampungan tersebut juga akan menjadi rujukan dan tempat para pelancong mengenali susur galur budaya dan seni bina yang terdapat di negeri ini selain tempat pengambaran filem.

“Para pelancong dari luar Perak, mahupun luar negara boleh menjadikan perkampungan ini sebagai tempat rujukan untuk mengenali susur galur, budaya, seni serta juga seni bina yang terdapat dalam negeri ini.

“Ini merupakan hasil daripada perancangan kita dalam Perak Amanajaya untuk menjadikan Kampar sebagai City of Colors, saya harapkan perkampungan ini akan terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

karyawan-malim 4

Pengasas serta individu yang telah dipertanggungjawabkan menjaga perkampungan itu, Malim Ghozali PK pula berkata, beliau amat berbesar hati dengan semangat kerajaan negeri dalam mempertabatkan seni melalui pembinaan PKM.

“Pembinaan kampung ini telah dimulakan sekitar tiga tahun lalu dan kini ianya telah siap serta bakal memberi banyak manfaat kepada golongan seni.

“Perkampungan ini akan memberi ruang kepada para karyawan dalam semua genre untuk mencipta,” katanya dalam ucapan perasmian kampung terbabit.

Tambah beliau perkampungan tersebut menyediakan kemudahan bagi menggalakkan karyawan tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan, mengembang dan mengekalkan seni budaya tradisinal dan kontemporari negeri Perak.

“Sebagai conothnya seperti penulisan, lukisan, seni muzik, seni lakon, perfileman dan sebagainya,” ujar beliau.