IPOH: Selepas kejayaan operasi pusat penempatan gelandangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perak akan mewujudkan pusat sehenti bagi membantu gelandangan yang menghadapi masalah.

Sebagai permulaan, pusat sehenti itu akan diwujudkan di taiping bulan hadapan, yang boleh menempatkan 20 gelandangan pada satu-satu masa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, operasi pusat itu sama seperti pusat penempatan gelandangan yang menerapkan nilai-nilai disiplin dan berdikari di samping mengasah bidang kemahiran mereka.

“Saya lihat selepas daripada tarikh hari ini pun masalah gelandangan masih wujud di Bandaraya Ipoh ini dan saya rasa sudah sampailah masanya untuk kita memikirkan satu penyelesaian yang kita akan buat.

“Saya akan berbincang dengan beberapa pihak dan agensi untuk kita mewujudkan pusat sehenti untuk kita tempatkan para gelandangan ini, untuk kita buat job matching dan sebagainya.

“Kita rasa kita boleh bantu para gelandangan ini yang mempunyai masalah kerja harian, dibuang kerja secara mengejut, masalah dengan keluarga dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penutupan pusat penempatan gelandangan di Arena Badminton Ipoh pada Jumaat.

Pusat itu yang dibuka pada 18 April lalu, menempatkan 89 gelandangan, sebagai salah satu langkah kerajaan negeri Perak untuk mengelakkan berlaku kluster gelandangan COVID-19.

Seramai 10 orang daripada mereka telah diambil bekerja, di samping ada yang diambil oleh waris, dirawat di hospital dan ditempatkan di rumah-rumah kebajikan.