IPOH– Kerajaan Perak merancang membentangkan usul berhubung cadangan mewujudkan sebuah Perbadanan Stadium di negeri ini pada sidang Dun, awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata kerajaan negeri menjangkakan sekiranya segala percangan berjalan dengan baik, ia akan mula beroperasi mulai 2019.

“Kita akan buat pembentangan pada persidangan dewan yang pertama tahun hadapan dan sekiranya diluluskan kita akan bentuk pula satu jawatankuasa untuk menyelia perkara ini.

“Draf asal telah dimulakan oleh pentadbiran lalu, tetapi banyak yang perlu dipinda dan diperbaiki malah konsep ini disambut baik oleh pentabiran sekarang bagaimanapun mengenai keanggotaan dan sumber kewangan perlu diperhalusi lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ekonomi Sukan Sempena SUKMA XIX 2018 di sini, hari ini.

Menurutnya, kewujudan perbadanan berkenaan dilihat bakal membantu menyelaras serta menyeimbangkan fasiliti sukan sedia ada termasuk menyelenggara kemudahan serta prasarana sukan di negeri ini.

“Jika mendapat kelulusan enakmen Perbadanan Stadium sudah pasti kita mampu meringankan beban pengurusan dan pentadbiran kompleks daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Mereka akan digabungkan serta satu badan pemikir akan diwujudkan bagi menguruskan kesemua kemudahan sukan yang terdapat dalam negeri ini,” jelas beliau.