TAPAH – KERAJAAN Perak akan menubuhkan Tabung Patriotik untuk menerima sumbangan daripada orang ramai yang ingin membantu rakyat kurang bernasib baik di negeri itu.

Menteri Besar, YB Ahmad Faizal Azumu berkata idea itu merupakan aspirasi daripada kerajaan pusat yang mewujudkan Tabung Harapan.

“Rakyat yang berkemampuan boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung ini yang akan digunakan untuk kepentingan awam.

“Dana yang dikumpulkan kelak akan digunakan untuk membantu mangsa bencana banjir dan sebagainya di mana duit dari rakyat akan dikembalikan kepada rakyat,” ujar beliau selepas menghadiri sesi dialog bersama 29 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Pahang di sini dan menyampaikan sumbangan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Pahang.

Ahmad Faizal berkata walaupun tabung berkenaan belum dilancarkan namun sudah terdapat seorang individu yang tampil memberi sumbangan berjumlah RM100,000 kepada kerajaan negeri bagi kegunaan orang awam di negeri ini.

“Pegawai Kewangan Negeri (Mohd Ghazali Jalal) akan membuka akaun untuk tabung tersebut dan nombor akaun akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang berkata, Tabung Patriotik akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Ia bagi membolehkan usaha membangunkan kerajaan dijalankan secara bersama oleh semua pihak di mana mengambil konsep daripada rakyat untuk rakyat sama seperti Tabung Harapan Malaysia yang telah diwujudkan.