IPOH: Kerjasama dan penglibatan semua pihak amat diperlukan bagi menjaga keperluan dan kebajikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara ini secara lebih holistik.

Pengerusi Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS) Negeri Perak, Shahrul Ridzuan Gurmukh Abdullah berkata, golongan tersebut perlu diberikan perhatian dan tumpuan yang secukupnya untuk menyemai rasa yakin dalam diri mereka.

Jelasnya, setiap rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab khusus yang membolehkan mereka menggunakan keupayaan selain daripada nilai wang ringgit dan kebendaan untuk menceriakan golongan ini.

bde6c83a-7f05-419e-9e63-b2bd8063e9f1“Kesedaran ini perlu wujud di kalangan masyarakat Malaysia kerana dari keprihatinan inilah badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan berperanan dalam membantu kerajaan untuk memberikan kemahiran, mengajar mereka mengenai kehidupan seharian dan perkara asas yang lain.

“Kita tidak boleh bergantung harap kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya berusaha untuk meringankan beban golongan memerlukan seperti OKU,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Rumah Kebajikan Bethany, Kem Munir, Gopeng, baru-baru ini.

Dalam lawatan berkenaan, seramai 30 aktivis BATAS Perak terlibat menceriakan warga OKU dengan melakukan pelbagai aktiviti sosial.

Tambah Shahrul, pihaknya menyumbang sebanyak RM3,000 kepada pusat berkenaan untuk membantu mereka membeli bekalan makanan harian dan perbelanjaan asas lain di pusat berkenaan.

“Pada hari ini, kami telah melakukan pelbagai aktiviti bersama 75 OKU di pusat ini selain berkongsi kisah hidup kami agar sedikit sebanyak membuatkan mereka tidak berasa tersisih dalam kehidupan seharian.

d6e13019-024e-43bc-9996-c4fcc8649b06

“Adakalanya, mereka juga ingin berbual dengan masyarakat di dunia luar, jangan sisihkan mereka dan selami hati mereka, itu pun saya lihat, dapat menggembirakan malah memadai buat mereka,”ujarnya lagi.

Shahrul berkata, BATAS Malaysia akan menjelajah ke Pahang bagi menyampaikan bantuan makanan seperti beras dan keperluan lain di beberapa rumah orang tua di sekitar negeri itu dalam masa terdekat.

Buat masa ini, seramai 2,000 ahli BATAS aktif dalam program sukarelawan seperti membantu mangsa bencana alam banjir dan lain-lain.