BEIJING: China akan bertindak balas mengikut keperluan sekiranya berlaku peperangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Wang Yi hari ini, sambil memberi amaran perang seumpamanya hanya akan membahayakan semua pihak.

Presiden AS, Donald Trump, dijangka mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli import dan 10 peratus ke atas aluminium import minggu ini, tetapi Rumah Putih berkata wujud kemungkinan pengecualian 30 hari diberi kepada Mexico, Kanada dan beberapa negara lain berasaskan keselamatan nasional.

Langkah itu bertujuan menangani import murah, terutama dari China, yang didakwa menjejaskan industri dan pekerjaan AS.

Pentadbiran Trump berhadapan tentangan kepada cadangan tarif itu daripada tokoh Republikan terkemuka selain pegawai perniagaan yang bimbangkan impak ke atas ekonomi negara itu.

Ketegangan perdagangan dengan AS kini mendahului senarai risiko dihadapi China tahun ini, kata ahli ekonomi kanan di Commerzbank, Zhou Hao, kepada Reuters Global Markets Forum minggu ini, dan data terkini negara itu menunjukkan eksport menokok 44.5 peratus pada Februari berbanding setahun lalu.

Wang, yang bercakap pada acara sampingan di Parlimen China, berkata China dan AS tidak perlu menjadi pesaing, dan sejarah membuktikan perang perdagangan bukan cara yang betul untuk menyelesaikan masalah.

“Terutamanya dalam globalisasi hari ini, memilih perang perdagangan adalah preskripsi yang silap kerana hasilnya hanya akan membahayakan. China terpaksa bertindak balas berdasarkan apa yang patut dan mengikut keperluan,” kata Wang – berita harian