KUALA LUMPUR: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China secara tidak langsung memberi impak positif kepada pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata perang perdagangan itu meningkatkan minat syarikat dari AS dan China untuk melabur ke negara ini.

“Antara perkara yang perlu diambil kira kerajaan kesan perang perdagangan AS dan China ialah membuat penilaian adakah Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) boleh membawa manfaat kepada FDI.

“Saya rasa minat untuk melabur di Malaysia meningkat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sekarang ini akibat perang perdagangan AS dan China, minat syarikat dari AS dan China untuk melabur ke negara ini meningkat.

“Tanggungjawab kerajaan sekarang ialah menilai sama ada CPTPP boleh membawa lebih manfaat kepada FDI negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Chai Kim Sen yang bertanya implikasi di sebalik perang perdagangan di antara AS dan China kepada Malaysia serta apakah implikasi terhadap CPTPP.

Terdahulu, Kian Ming berkata, kerajaan belum membuat keputusan untuk menyertai CPTPP kerana memerlukan masa untuk mengkajinya supaya keputusan yang diambil akan memberi impak positif kepada rakyat serta negara.

Namun katanya, selagi Malaysia belum membuat ratifikasi terhadap perjanjian CPTPP, selagi itu tidak terbabit dengan perjanjian berkenaan.

“Mexico, Jepun dan Singapura antara negara yang sudah melengkapkan proses meratifikasi perjanjian CPTPP. Malaysia belum selesai proses ratifikasi, bermakna Malaysia belum terbabit dengan CPTPP,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penyertaan Malaysia dalam CPTPP dijangka memberi kebaikan kepada negara untuk meneroka pasaran baharu di rantau Amerika walaupun AS menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Walaupun AS tarik diri daripada TPPA, saya rasa memang ada ada kebaikan sertai CPTPP kerana kita boleh akses pasaran baru seperti Kanada, Mexico dan Peru.

“Ekonomi Kanada adalah yang ke-10 terbesar di dunia dan Mexico yang ke-15 terbesar. Kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi dengan AS menerusi Perjanjian Perdagangan Amerika Utara (NAFTA).

“Kita boleh jadikan negara terbabit sebagai tapak untuk mencari akses pasaran yang besar di AS,” katanya – berita harian