IPOH: Kerajaan negeri Perak memandang serius terhadap penyalahgunaan dadah di negeri ini dan usaha memerangi dadah habis-habisan bukan sekadar slogan.

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kerajaan negeri telah membangunkan Pelan Tindakan Strategik (PTS) PEMADAM Perak 2015-2020 untuk mencapai negeri bebas dadah.

Menurut beliau, PTS ini telah digunakan sebagai panduan melaksanakan agenda pencegahan dadah di setiap daerah di Perak.

“Semua program yang dirancang dan dilaksanakan akan diukur dari segi keberkesanannya supaya KPI nya dapat dipenuhi.

“Ini juga bagi memastikan supaya program yang dilaksanakan tidak tersasar dari objektifnya dan juga berbentuk kos efektif,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak PTS itu dilaksanakan, tiada penambahan kritikal dari segi bilangan Orang Kena Pengawasan (OKP) iaitu berada pada purata 6,000 orang setahun.

Beliau memberitahu, bilangan kes penagih baru yang direkodkan pada tahun 2016 adalah sebanyak 1,549 orang dan menurun kepada 1,164 orang sehingga Oktober 2017.

Manakala kes penangkapan bersabit dengan dadah pula, kata beliau, bertambah lebih 10% setahun, sekaligus membuktikan usaha kerajaan berada di landasan yang betul.

Mengenai aktiviti penagihan dadah yang dikatakan semakin meruncing di kawasan Felcra Seberang Perak, Samsudin berkata, pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah memberi perhatian dan pemantauan yang serius serta konsisten terhadap aktiviti penagihan dan pengedaran.

Katanya, banyak program telah dilaksanakan oleh pihak AADK dan polis, bukan sahaja di kawasan tersebut, malah di seluruh negeri untuk membenteras aktiviti-aktiviti berkenaan.