IPOH– Kejayaan pasukan bola sepak Perak menamatkan kemarau selama 18 tahun dengan merangkul Piala Malaysia akan diraikan dalam program larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang berlangsung pada 11 November ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan rakyat Perak khususnya berpeluang untuk bersama-sama menyertai dan menyaksikan perarakan Piala Malaysia itu.

“Pada 11 haribulan kita akan adakan larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kuala Kangsar bermula jam 7 pagi, saya menjemput semua rakyat Perak untuk bersama-sama di sana sambut bersama dengan penuh meriah.

“Di sana nanti kita juga akan meraikan kejayaan pasukan-pasukan sukan contohnya bola sepak Perak yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun kempunan.

“Begitu juga dengan hoki berjaya bawa pulang Piala Razak dan bola sepak SUKMA yang berjaya mengekalkan pingat emas tiga SUKMA berturut-turut, jadi boleh kita jumpa hero-hero sukan Perak di sana nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman di antara kerajaan negeri dan AmBank Islamic di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, ujarnya, piala itu akan dibawa mengadap kepada Sultan Perak dan akan dicadangkan untuk dibawa ke setiap daerah bersama-sama pemain bagi meraikan kejayaan tersebut,

“Saya sendiri kalau ada kesempatan akan bersama dengan pemain untuk membawa Piala Malaysia ke kampung-kampung dan daerah agar semua rakyat dapat bersama-sama dengan pemain meraikan kejayaan gemilang ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut mengulas berkenaan penyerahan memorandum serta desakan untuk Presiden Pafa melepaskan jawatan.

“Saya dapati memang begitu banyak desakan, kecaman terhadap Presiden Pafa kerana cara beliau mengendalikan Piala Malaysia, saya terima baik semua pandangan dan komen orang ramai.

“Perkara yang penting ialah cara kita uruskan kejayaan, hari ini kita berjaya membawa balik Piala Malaysia dan musim akan datang kita akan bertanding lagi besar, saya harap kita dapat kawal emosi agar lebih banyak kejayaan kita bawa.

“Saya faham emosi para penyokong dan kita perlu cari jalan apa jua perkara kita lakukan tidak memberi kesan yang buruk kepada pasukan,sekaligus melemahkan pasukan,” ujarnya.