IPOH– Lebih 500 orang pelajar dari 11 buah sekolah sekitar Buntong menyertai Perarakan Sayangi Malaysiaku sempena Hari Kemerdekaan yang disambut pada Ogos lepas dan Hari Malaysia pada bulan ini.

Perarakan sejauh 1 kilometer itu melibatkan pelajar sekolah dari berbilang kaum, masing-masing mempamerkan keunikan pakaian tradisi bangsa serta bendera Malaysia.

Menurut Ketua Penyelaras Unit Hal Ehwal Bukan Islam dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivasubramaniam, perarakan yang julung kali diadakan itu akan dijadikan sebagai program tahunan di masa hadapan.

“Kita dapat berhimpun dalam suasana berbilang kaum di sini untuk menghayati dan menunjukkan semangat sayangkan negara.

“Tahun hadapan kita akan panggil lebih banyak sekolah untuk ambil bahagian bersama-sama sempena Kemerdekaan dan Hari Malaysia,” katanya ketika berucap kepada pelajar dan hadirin di Padang Kelab Rekreasi Masyarakat India di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan , Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong.

Terdahulu, Paul melepaskan para peserta yang mengambil bahagian di dalam program tersebut.

Beberapa pelajar yang ditemui menzahirkan rasa teruja dan gembira dengan sambutan yang diadakan.

Low Pui Ling,11, dari SK Buntong mengenakan pakaian tradisi masyarakat Cina, Cheongsam di dalam perarakan tersebut.

“Kebiasaannya hari merdeka, saya dan keluarga akan ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk saksikan sendiri perbarisan dan sambutan yang diadakan, tetapi tahun ini kami hanya menonton sambutan di Ipoh,” katanya.

Seorang lagi pelajar dari SJKT St. Philomena Convent, P.Eshaajasmin, 11, menyarung pakaian yang diperbuat dari barangan kitar semula dan terpakai seperti cakera padat dan kertas.

“Hari ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan acara perarakan dan merasa bangga kerana dapat tunjukkan rasa cinta kami kepada Malaysia,” ujarnya yang ditemani guru dan rakan-rakan.

Al-Hafiz Mohd Hamdan, 8, dari SK Panglima Kinta tampil dengan pakaian yang dijahit menggunakan Jalur Gemilang, lengkap sampin dan tengkolok.

“Merdeka itu ertinya kita bebas dari penjajah, baju yang saya pakai ini emak yang jahitkan, saya rasa gembir sebab dapat jumpa ramai kawan dari sekolah yang berbeza,” katanya.

1/3