IPOH – Polis telah menahan tiga anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memeras ugut seorang warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd Rahman berkata kesemua anggota berusia lingkungan 30an hingga 40an itu kini sedang direman selama tiga hari bermula Sabtu lalu.

Yahaya berkata, dalam kejadiaan Sabtu lalu itu, mangsa yang berusia sekitar 30an telah mendakwa diugut ketiga-tiga anggota terlibat di Pokok Assam, Taiping dan diminta menyerahkan wang berjumlah RM4,000.

“Mangsa di dalam lapornya mendakwa hanya mampu menyerahkan sebahagian sahaja daripada wang diminta anggota-anggota terlibat.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anggota itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tiada premis perjudian yang beroperasi di sekitar Ipoh seperti yang didakwa oleh Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan baru-baru ini di dalam tweetnya.

“Tidak berlaku seperti didakwa kerana kita memandang berat perkara ini, baru-baru ini terdapat dua kedai judi yang beroperasi di Pasir Putih dan Ipoh namun hanya empat jam dan lapan jam sahaja mereka mampu beroperasi sebelum kami buat serbuan.

“Setakat ini, pagi tadi saya telah periksa tiada kedai judi yang beroperasi secara haram..kita sentiasa membuat pemantauan, dia (Sanjeevan) sepatutnya laporkan terus kepada kami, bukan melalui media sosial,” ujar beliau.