IPOH – Hujan sejak petang nyata tidak melemahkan semangat kira-kira 25,000 penonton untuk hadir menyaksikan majlis perasmian penutupan Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018.

Acara gilang-gemilang itu dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri-negeri membabitkan 1,539 atlet.

Sebaik penyerahan bendera kejohanan dan obor diserahkan kepada Johor selaku tuan rumah edisi ke-20 pada tahun 2020, acara persembahan penutup secara gilang-gemilang dipersembahkan.

Ia termasuk persembahan artis popular tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Awie diikuti persembahan kebudayaan negeri Perak dan pertunjukan bunga api.

Ini kali kedua Perak menjadi tuan rumah dalam sejarah penganjuran SUKMA selepas kali pertama menganjurkannya 24 tahun lalu iaitu pada 1994.

Terdahulu prapersembahan seawal jam 5 petang membabitkan persembahan akrobatik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), simfoni perpaduan yang mempamerkan persembahan gendang daripada pelbagai kaum serta persembahan kumpulan kesenian serta beberapa artis popular lain turut diadakan.

Para pengunjung yang ditemui usai acara penutup itu melahirkan rasa gembira dan teruja dpat menyaksikan salah satu detik bersejarah yang bakal terpajhat di memori mereka seumur hidup.

Roazfazleen Azlan, 21, dari Malim Nawar berpuas hati dengan kedudukan Perak di tangga kelima dalam pungutan pingat keseluruhan.

“Saya gembira dan berbangga dengan pencapaian negeri Perak yang memungut 37 pingat emas malah menjadi johan dalam acara bola sepak.

“Saya bertuah kerana berpeluang menonton acara bola sepak dan penutup perasmian SUKMA di sini dan ia akan menjadi kenangan terindah buat saya sebagai anak Perak,” ujar beliau.

Bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor, Mohd Fahmi Ahmad Osman, 15, berkata ini pengalaman pertamanya menyaksikan perasmian penutup yang diwarnai dengan pelbagai persembahan.

Dia yang tiba di Stadium Perak seawal jam 6 petang untuk mengelakkan kesesakan jalanraya berpendapat pencapaian pasukan bola sepak negeri Perak sebagai hadiah tidak ternilai untuk rakyat negeri ini.

Mohd Fahmi yang menjadikan atlit pecut Negara Khairul Hafiz Jantan sebagai idola, juga bercita-cita untuk menjejak langkah beliau untuk menjadi atlit tersohor suatu hari nanti.

“Saya ada mewakili sekolah untuk daerah bagi acara larian 100 meter, dan saya berharapa dapat mewakili negeri di masa akan datang,” ujar beliau.

Menyifatkan persembahan dari 1,600 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Ipoh sebagai suatu kelainan, Ahmad Kamal Zainal Abidin, Chepor, 46, berkata ia merupakan persembahan upacara penutup SUKMA yang terbaik.

“Ia satu kelainan dan memerlukan kita berfikir tentang keunikan dan bagaimana ‘warna-warna’ itu berintergrasi dan berharmoni walaupun masih mengekalkan warna masing-masing.

“Pada saya ia menggambarkan kepelbagaian kaum, bangsa, agama dan latar belakang rakyat Perak namun kesatuan dan perpaduan membuatkan kita bersatu,” ujar kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh ini.

Beliau menambah salah seorang anaknya turut mengambil bahagian dalam persembahan tersebut.

Beliau yang tidak dapat hadir ketika upacara perasmian berkata, teruja dan gembira dapat menyertai acara penutup yang meriah.

“Saya berharap para atlit akan memperbaiki prestasi dan kutipan pingat di SUKMA Johor ke-20 pada 2020 nanti.

“Saya ucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian mereka walaupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Apa yang penting, usaha dan keazaman mereka untuk bersaing secara sihat di sepanjang kejohanan ini,”katanya lagi.

Beliau juga memuji langkah kerajaan negeri yang melibatkan ke semua 12 daerah di negeri ini yang memberi peluang kepada semua rakyat untuk mengambil peluang menghadiri dan menyaksikan acara sukan secara lebih dekat.

“Saya sempat menonton acara menembak di Chepor, kerana lapang sasar berdekatan dengan rumah. Seronok dapat saksikan sendiri lapang sasar dan acara rifle 10 m, 15m 25m, 50m dapat tahu macam mana sukan tu berjalan,” katanya.

Berlainan pula dengan Kertar Singh Sidhu, 46, dari Tambun. Beliau turut hadir memberikan sokongan kepada pasukan persembahan tersebut walaupun anaknya Sukpret Kaur Sidhu, 13, tidak dapat mengambil bahagian di saat akhir kerana tidak sihat.

Melahirkan rasa gembira atas kejayaan kontinjen Perak yang mendapt tempat kelima, ianya lebih manis apabila beliau dapat membawa semua ahli keluarganya menonton majlis penutupan yang dianggap peluang sekali seumur hidup.

Sementara itu, Sukpret Kaur Sidhu, 13, berharap beroleh peluang untuk beraksi dan membuat persembahan di SUKMA Johor.

Dia yang mewakili Sekolah Menengah Tambun dalam acara olahraga juga bercita-cita untuk menjadi atlit negeri kelak.

“Saya ucapkan tahniah kepada para atlit yang telah berjaya membawa pulang pingat, yang tak dapat emas tak mengapa sebab kita boleh cuba lagi. Jangan berputus asa dan teruskan usaha untuk meletakkan negeri Perak sebagai pesaing terhebat,” ujar beliau.