PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan terhadap premis perniagaan yang gagal mengasingkan dan melabel produk berus diperbuat daripada bulu babi.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata tempoh sebulan yang diberikan KPDNK kepada premis perniagaan untuk berbuat demikian sudah pun tamat pada hari ini dan tindakan boleh diambil berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Sama ada kita akan adakan operasi atau sebaliknya, tidak boleh diberitahu, kalau kita ada lakukan tangkapan maknanya adalah operasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia Sehari Bersama Usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Bimbingan KPDNKK, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK (Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Basaruddin Sadali.

Beliau berkata, bagi kesalahan pertama membabitkan individu di bawah Perintah Dagangan (Barangan Yang Diperbuat Daripada mana-mana Bahagian Babi atau Anjing), boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, BH mendedahkan lambakan berus cat bulu babi dijual di premis perkakasan binaan yang bukan saja digunakan untuk mengecat tetapi juga dalam penyediaan makanan.

Ia didedahkan selepas ujian makmal Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM) ke atas berus cat yang mempunyai kod A913 dan A680, mengesahkan diperbuat daripada bulu babi.

-BeritaHarian