IPOH: Peraturan-peraturan yang dibuat oleh kerajaan negeri terhadap peniaga kecil dan penjaja bukan berniat untuk menganiaya golongan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebaliknya berkata, ia untuk memastikan golongan berkenaan dapat mencari rezeki dengan lebih sistematik dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.

“Banyak orang bising kepada kami kata peraturan-peraturan yang dibuat menyusahkan mereka dan sebagainya, tapi bukan niat kerajaan negeri untuk buat begitu.

“Kita nak tolong golongan ini supaya mereka dapat berniaga dengan lebih teratur, selesa dan sebenarnya Ini secara tidak langsung bantu perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Makan Malam & Sembang Santai Menteri Besar Perak Bersama Peniaga dan Penjaja Pangkor di kediaman rasmi Menteri Besar di sini pada Isnin.

Justeru itu, beliau menyarankan golongan berkenaan saling bekerjasama dan membantu pihak kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan pendapatan mereka.

“Jadi kita berikan tapak meniaga perlu digunakan sebaik mungkin termasuk juga menjaga kebersihan kawasan.

“Jadi para peniaga perlu berkerjasama dan membantu pihak kerajaan negeri, jaga kualiti produk atau makanan yang dijual, tunjuk sikap positif kepada pelancong atau pengunjung supaya secara tidak langsung lebih ramai akan datang ke Perak,” ujar beliau.

Pada program itu, lebih 200 peniaga dan penjaja Pangkor telah hadir beramah mesra bersama Dr. Zambry serta isteri Datin Saripah Zulkfli dan meluangkan masa kira-kira 3 jam.