Festival Of Ideas (Festival Idea) yang akan berlangsung selama tujuh hari sebelum bermula Pangkor Dialogue 2017 disifatkan sebagai ‘perayaan idea’ bagi seminar dan persidangan.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ia merupakan langkah yang dirancang dalam usaha menjadikan negeri Perak sebagai ‘City Of Knowledge’ (Bandar Ilmu).

Katanya penganjuran Pangkor Dialogue tahun ini diberi penjenamaan semula dengan penambahan konsep Festival of Idea dalam menyemarakkan cetusan pemikiran.

WhatsApp Image 2017-04-17 at 14.09.00

“Kerajaan negeri akan pelopori Festival Of Idea, ia akan jadi perayaan idea. Tahun sudah kita ada jalankan konsep sebegini yang menjadi prelude kepada Pangkor Dialogue.

“Kali ini kita jenamakan semula, bagi sesetengah pihak mungkin anggap ia konsep baharu tetapi ianya sudah pun dilaksanakan di beberapa buah negara,” ujar Dr Zambry.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan 4th IDR Annual Research Seminar Mobilising Research Findings into Policy Development for Impactful Actions di Hotel Impiana, Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Mohd Gazali Jalal dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr Mazalan Khamis.

WhatsApp Image 2017-04-17 at 14.08.56

Dr Zambry turut menyifatkan program kelolaan IDR ini sebagai medan pertemuan pemikir dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi dan pelancongan.

” Diharapkan supaya apabila mereka hadir ke sini nanti, mereka akan bercerita tentang negeri kita pada rakyat di negara masing-masing.

“Ia juga sebahagian daripada konsep pelancongan ke Perak kerana ramai yang akan tertumpu ke sini nanti,”katanya.

Pangkor Dialogue 2017 yang memasuki edisi kelima bakal berlangsung pada 9-12 September bertempat di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.

Edisi kali ini bertemakan ‘Making The Future: Innovative Pathways to Sustainable Development.