KAMPAR: Sambutan perayaan Hari Vaisakhi yang disambut selama tiga hari bermula hari ini oleh kaum Sikh di sekitar Kampar, Perak mampu dijadikan platform kepada penyatuan kaum.

 

Ini jelas terbukti apabila perayaan itu yang disambut dengan upacara sembahyang, nyanyian dan tarian oleh hampir 2,000 penganut Sikh di Gurdwara Sahib Kampar turut diraikan oleh pengunjung berbilang kaum.

 

Awalnya, sambutan itu adalah bagi meraikan musim menuai, sebelum menjadi pesta keagamaan yang dibawa oleh guru Gobind Singh Ji bermula sejak tahun 1699. Dari situ jugalah bermulanya sejarah penggunaan nama Singh bagi lelaki dan Kaur bagi wanita kaum Sikh.

 

Menurut Pengerusi Gurdwara Kampar, Sukhdave Singh, ramai penganut agama lain sebenarnya sudah mengetahui perayaan Vasaikhi dan mereka turut meraikannya dalam suasana dan semangat perpaduan.

 

“Sebenarnya ramai penganut agama lain seperti India dan Cina sudah tahu apakah itu Vasaikhi sehingga ada yang datang ke Gurdwara untuk menyambutnya bersama kami dalam suasana dan semangat perpaduan,” katanya.

 

Presiden Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak, Datuk Dr Jasvinder Singh pula berkata, hari ini merupakan hari yang sungguh istimewa baginya kerana jatuhnya empat perayaan serentak iaitu perayaan Vasaikhi bagi kaum Sikh, good Friday bagi agama Kristian, Songkran dan Tahun Baru Tamil.

 

“Saya sungguh bangga kerana kaum lain turut meraikan Hari Vasaikhi bersama kaum Sikh di mana selain berpeluang menikmati hidangan makanan vegetarian secara percuma mereka dapat mendalami adat resam dan budaya kaum Sikh,” ujarnya.

 

Seorang pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar, Christine Chong, 20, berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk merayakan Vasaikhi kerana ia unik di mana pengunjung dijamu makanan vegetarian selain  berpeluang mengenali adat budaya kaum Sikh.

 

“Saya mendapat layanan istimewa dengan menikmati makanan sayuran selain berpeluang mengikuti adat resam dan budaya unik kaum Sikh,” katanya.

 

Sorang pengunjung, Vishani Thevar, 21, pula berkata, dia sentiasa meraikan hari Vasaikhi bersama rakannya kerana berpeluang mengenali adat budaya kaum Sikh secara lebih mendalam.

 

“Saya berpendapat perayaan ini bukan sekadar pengunjung berpeluang menikmati adat budaya kaum Sikh malah memantapkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan kaum di negeri ini,” ujarnya.

 

WhatsApp Image 2017-04-14 at 4.07.29 PMWhatsApp Image 2017-04-14 at 4.07.31 PM