IPOH: Perbezaan budaya dan agama tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan di kalangan umat manusia, sekaligus mengheret kepada masalah keganasan.

Setiausaha Agung ASEAN,Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan berkata, Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) menjadi landasan terbaik bagi membincangkan isu semasa berhubung masalah tersebut.

“Banyak isu yang sudah memecah belahkan kita, seperti sejarah lampau termasuk perbezaan budaya, pendapat dan ia menjadikan hubungan sesama manusia semakin tegang.

“Sebagai umat Islam khususnya kita dianjurkan untuk hormat menghormati dan cintakan kedamaian sesama manusia, buang jurang di antara kita,” kata Surin di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017 di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Dr. Surin merupakan antara 38 tokoh yang menghadiri dan membuat pembentangan pada WCIT kali ini dengan subtema yang dibincangkan meliputi konflik sosial dan pelampau agama, isu kemanusiaan dan keamanan sejagat serta pendidikan dan belia.

Dalam pada itu, beliau turut memuji pelaksanaan WCIT yang sudah memasuki tahun ke-4 tahun ini, di samping mengharapkan persidangan ini memberi impak positif kepada kemanan global.

“Menjadi misi kita untuk membawa mesej keamanan kepada dunia, supaya manusia menjadi sahabat akrab dalam mencipta kedamaian tanpa melibatkan keganasan yang sudah berlaku di beberapa buah negara,” katanya.