IPOH : Prosiding perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan lagi.

Pihak pembelaan membuat permohonan penangguhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menunggu keputusan rayuan kes di Mahkamah Rayuan, Putrajaya untuk memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 26 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan pembelaan untuk memindahkan kes kerana tidak mempunyai merit yang mewajarkan permohonan kes didengar di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Sesyen Ipoh pada 5 Disember lalu kemudiannya menetapkan 10 hingga 14 Februari 2020 sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Peguam Farhan Sapian berkata, Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh bicara pada hari ini, sama tarikh dengan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

“Notis rayuan telah difailkan pada Disember lalu, namun kertas-kertas klausa baru sahaja diserahkan kepada mahkamah rayuan kemudian bicara telah ditetapkan hari ini.

“Jadi keputusan tarikh bicara bergantung kepada keputusan Mahkamah Rayuan atau arahan-arahan lanjut daripada panel mahkamah di sana, ia boleh berubah bergantung kepada arahan panel hakim,” katanya.

Permohonan penangguhan itu bagaimanapun dibantah pihak pendakwaan kerana boleh memberi kesan emosi kepada mangsa dan saksi-saksi lain berikutan tempoh kes yang lama.

Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar berkata, pihaknya telah bersedia dengan 15 orang saksi.

Malah, katanya, Jurubahasa Indonesia juga telah dibawa sehinggalah selesai mangsa memberi keterangan.

“Kita tidak mahu menyimpan mangsa terlalu lama, dia ada di negara ini sejak Julai lalu, sudah lebih lima bulan dan ini boleh menyebabkan emosinya terganggu,” ujarnya.