IPOH : Mahkamah Sesyen Ipoh sekali lagi menetapkan 19 Mac ini bagi keputusan permohonan pembelaan menggantungkan prosiding bicara kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Norashima Khalid membuat ketetapan itu selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman berkata, pihaknya tidak memfailkan afidavit balasan dan sebarang hujahan terhadap permohonan itu.

“Kami mendapat arahan agar tiada bantahan yang dibuat terhadap permohonan pemohon dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan permohonan pemohon,” katanya.

Sementara itu, peguam Farhan Sapian ketika ditemui media berkata, prosiding hari ini adalah untuk memfailkan hujahan kepada mahkamah dan bukannya keputusan.

Katanya, pihaknya masih menunggu rekod rayuan yang disediakan oleh Mahkamah Rayuan untuk dihantar ke Mahkamah Persekutuan.

“Pada 27 Mac adalah status berkaitan rekod rayuan disediakan Mahkamah Rayuan yang telah dimaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan.

“Sebentar tadi pihak pendakwaan menyatakan secara jelas bahawa tiada bantahan untuk suatu perintah penangguhan prosiding dibenarkan mahkamah, jadi kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, mahkamah sama menetapkan prosiding perbicaraan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu selama lima bermula 10 sehingga 14 Februari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Paul Yong untuk memindahkan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya, warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.