Subscribe Now

Trending News

Perbincangan bersama PM dalam tempoh sebulan
Nasional

Perbincangan bersama PM dalam tempoh sebulan 

KUALA LUMPUR : Perbincangan di antara Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kadar tawaran harga lebih tinggi bagi tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru belum diadakan.

Khalid berkata, ini kerana Dr Mahathir kini berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Mesyuarat Kabinet semalam (Rabu) Tun (Dr Mahathir) tiada kerana beliau ada di New York. Namun, saya telah beri jaminan kita akan buat keputusan berhubung permintaan penduduk dan pemilik Kampung Baru dalam tempoh sebulan daripada tarikh sesi townhall yang diadakan Sabtu lepas.

“Dalam tempoh satu bulan ni, insyaAllah saya akan bertemu dengan Tun untuk mendapat pandangan beliau berhubung permintaan supaya harga tawaran dinaikkan dan selepas itu memberitahu semua pemilik bahawa inilah harga terbaik dan yang termampu kita berikan,” jelasnya.

Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, ditemui selepas melancarkan Skim Lesen Mikro Franchise di Konvensyen IN4TEC 2019 di sini, hari ini.

Sabtu lepas Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Menurut Khalid, ia kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

– BERNAMA

Related posts