IPOH – Pembukaan bangunan baru Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh yang menempatkan blok wanita dan kanak-kanan serta Pusat Kardiologi (MCH) wajar disegerakan.

Isteri Menteri Besar Perak, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, langkah itu perlu bagi memastikan perkhidmatan perubatan terbaik dapat diberikan.

Menurutnya, kelulusan untuk bangunan mempunyai 10 tingkat itu dibuka telah tertangguh lebih setahun atas faktor-faktor tertentu.

“Kita tahu wad kanak-kanak dan wanita ini akan dibuka sedikit masa lagi, cumanya kita mohon agar proses ini dapat dipercepatkan, langkah ini akan membantu pihak hospital mendapat kemudahan peralatan yang lebih baik.

“Setakat ini saya dimaklumkan, hospital ini menyediakan 34 katil untuk pesakit kanak-kanak biasa, ada juga ICU (unit rawatan rapi) dan surgery (pembedahan),” katanya selepas mengadakan lawatan ke Wad Pediatrik HRPB sempena Aidilfitri ini.

Hadir sama, ahli Persatuan Wanita Prihatin Perak (PWPP) yang menyampaikan  bungkusan sumbangan Aidilfitri kepada 63 pesakit kanak-kanak.

Dr Nomee Ashikin berkata, kunjungan ini diharap dapat membawa keceriaan kepada pesakit yang mungkin ada antaranya terpaksa mengharungi musim perayaan di hospital.

“Ini juga sebagai tanda sokongan moral kepada ibu bapa yang terpaksa menjaga anak-anak mereka di hospital,” katanya.

Seorang bapa, Muhamidi Shahril, 36, berkata, anak ketiganya, Nur Alisha Dalia, 4, ditempatkan di hospital itu sejak awal Mei lalu selepas dikesan mengidap kanser darah.

“Raya pertama saya bawa dia balik ke rumah sebentar untuk bersama ahli keluarga yang lain, raya kedua saya bawa dia kembali ke hospital untuk sambung rawatan,” katanya – sinar