GOPENG: ‘Perceraian PAS dan PKR adalah urusan mereka sendiri dan UMNO / Barisan Nasional (BN) Perak tidak mahu campur tangan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau enggan membuat sebarang ulasan kerana tidak mahu dituduh bawa UMNO di belakang perkara tersebut.

“Kita tidak mahu masuk campur dalam urusan yang berkaitan hubungan antara parti, ia tidak melibatkan Barisan Nasional atau UMNO atau mana-mana komponen Barisan Nasional.

“Jadi adalah tidak wajar untuk saya memberikan komen lebih daripada itu, nanti akan dilihat sebagai konon-kononnya upaya UMNO ataupun UMNO lah dibelakang, seperti seringkali disebut oleh DAP dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Perak ke – 30 di RTC Gopeng pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru hubungan PAS dan PKR yang terputus ekoran keputusan Muktamar PAS di Kedah baru-baru ini.

Dr Zambry berkata, DAP sering menuduh segala perselisihan yang berlaku di kalangan parti-parti pembangkang adalah disebabkan oleh UMNO.

“Itu kerja DAP lah tetapi saya mengambil perdirian ini adalah urusan antara mereka di dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini mereka begitu baik dan hari ini merek bercerai berai,” ujarnya.

Ditanya apakah ‘perceraian’ itu memberi kelebihan kepada UMNO / BN, Dr Zambry berkata, ia hanya boleh dilihat ketika pilihan raya nanti.

“Yang paling penting ialah kesatuan kita di dalam Barisan Nasional. Untuk me wujudkam kesatuan dalam konteks Barisan Nasional ini bukan senang, sekarang mereka belajarlah apa yang berlaku sebenarnya,” tambah beliau.