Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Musim cuti sekolah merupakan saat-saat yang amat dinantikan anak-anak kerana inilah masa mereka dapat menghabiskan masa bersama kedua ibu bapa tersayang yang selalunya sibuk bekerja.

Lebih manis lagi buat anak-anak ini apabila ibu bapa membawa mereka melancong ke destinasi-destinasi percutian pilihan sama ada dalam mahupun luar negara.

Tidak kira dimana destinasi tersebut, anak-anak pastinya teruja.

Namun bagi si ibu bapa memilih destinasi percutian yang tepat dengan kos yang berpatutan adakalanya amat memeningkan lebih-lebih lagi apabila memikirkan duit poket yang agak terhad.

Sekiranya ini senario anda, kenapa tidak bawa anak-anak bercuti ke Fefarm di Kampar, Perak.

Jauh dari hiruk-pikuk serta kebingitan kota atau bandaraya, destinasi yang terletak dalam persekitaran seluas 26 ekar ini menampilkan konsep percutian alam semulajadi.

Dengan kehijauan dan nikmat menghirup udara segar Refarm sudah pasti merupakan destinasi paling tepat untuk beristerihat menenangkan minda serta menghabiskan masa bersuka ria bersama ahli keluarga.

Terletak hanya 40 minit perjalanan menaiki kereta dari bandaraya Ipoh, destinasi ini menawarkan banyak aktiviti menarik yang berlatarbelakangkan alam semulajadi.

Perjalanan masuk ke sini akan menengelamkan anda dalam panorama hutan hijau dikelilingi gunung ganang yang mengasyikan sambil diiringi bunyi cengkerik dan unggas.

Pengarah Urusan Refarm, Patrick Liew menjelaskan sejak memulakan operasi selama dua tahun banyak penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan bagi memenuhi kepuasan pengunjung yang datang.

Villa Dengan Kolam Renang Peribadi Pada Harga Berpatutan

Salah satu tarikan terbaru di sini adalah Villa Refarm yang mempunyai kemudahan kolam renang peribadi.

Sudah pastinya tarikan terbaru ini menepati citarasa mereka yang ingin melupakan segala masalah dengan menghabiskan masa beistirehat bersama orang tersayang dengan kemudahan kolam renang khas.

Paling penting, kesemua ini dapat anda nikmati pada harga berpatutan.

Kemudahan lain turut tersedia di villa bagi memenuhi keperluan pengunjung yang pelbagai.

Terdapat juga bilik yang boleh memuatkan enam orang pada satu masa untuk yang berkeluarga besar atau mereka yang datang untuk bercuti bersama rakan-rakan.

Kesemua tempahan bilik ada disertakan pakej sarapan, tiket masuk ke taman tema air, ladang-ladang ternakan, makan malam serta Jungle Trekking.

Bagi percutian berkumpulan pula, Refarm ada menawarkan penginapan Farm Stay yang pula boleh menempatkan lebih daripada 50 orang pada satu masa.

Penginapan seperti ini mengetengahkan tiga konsep penginapan pilihan iaitu ‘The Cave’, ‘The Brick’ dan ‘The Cabin’ yang mempunyai rekabentuk cukup unik.

Walau apa sahaja penginapan yang dipilih, sesuatu yang pasti setiap pengunjung di Villa Refarm ini akan merasai suasana dingin seperti berada di tanah tinggi terutama di waktu bening pagi kerana kedudukan villa ini yang berada ditengah-tengah hutan dara.

Bukan Percutian Kosong

Konsep percutian yang diketengahkan Refarm bukan semata-mata keindahan alam tetapi diselitkan juga pendedahan bagi mendekati dan mempelajari aktiviti berkaitan pertanian.

Pengunjung berpeluang melihat sendiri kebun-kebun sayur yang pelbagai, kawasan pemeliharaan kambing Boer, burung unta, rusa, burung puyuh, polish chicken, ayam mutiara dan banyak lagi.

Pengunjung juga dapat belajar mengenai pokok getah dan pengalaman menjadi ‘penoreh getah’ kerana ada disediakan ‘rubber tapping tour’.

Satu lagi pengalaman yang mungkin jarang didapati adalah ‘Honey Tasting Tour’ iaitu lawatan ke kawasan pemeliharaan lebah bagi penghasilan madu. Di sini pengunjung berpeluang belajar bagaimana proses pendebungaan dan madu dihasilkan.

Patrick berkata pendedahan sebegini amat bermanfaat kepada generasi muda sebagai sebahagian proses pembelajaran sehingga Refarm menjadi tumpuan pihak sekolah yang berminat mengadakan ‘educational tour’ kepada pelajarnya.

Kebiasaanya kunjungan pelajar ke Refarm tidak pernah membosankan kerana mereka juga dapat bermanja dengan binatang peliharaan seperti arnab, kura-kura, dan pelbagai spesies burung, mamalia dan reptilia di sini, katanya.

Katanya, Refarm mengamalkan konsep “self-sustain” atau penjanaan sumber sendiri melalui proses kitar semula sisa dalam bentuk organic untuk memastikan keseimbangan ekosistem.

“Kita mengaplikasikan teknik kitar semula bagi penggunaan bahan untuk kegunaan di Refarm. Misalnya, baja untuk kebun sayur dihasilkan daripada bahan buangan makanan manakala tayar, rangka basikal dan paip PVC dijadikan sebahagian daripada hiasan bagi resort ini,” katanya.

“ Selain menjimatkan kos, kami ingin memberi kesedaran kepada pengunjung dan orang ramai bahawa nilai lokasi percutian sebenar tidak terletak pada harga semata-mata, tetapi samada ia dapat memberi suntikan kesedaran dalam diri mereka.

“Inilah inisiatif dan sumbangan Refarm untuk masa depan generasi kita,”kata pengusaha yang mempunyai latarbelakang Kejuteraan Sivil dari United Kingdom itu.

Minat yang mendalam untuk membangunkan tanah milik keluarga untuk menjadi satu destinasi pelancongan terkemuka menyebabkan Patrick mengambil keputusan meninggalkan bidang kerjaya kejuteraan.

Katanya bukan mudah untuk membuat keputusan itu apatah lagi mengenagkan bagaimana beliau bersusah payah untuk mendapatkan segulung ijazah itu.

Namun beliau yakin akan kemampun Refarm berikutan konsep unik yang diketengahkan.

“Sepanjang Refarm beroperasi sejak awal tahun 2015, pelbagai kritikan dan teguran saya dapat. Saya terima semua itu dengan hati terbuka. Antara cabaran saya adalah untuk memenuhi standard pengurusan dan kebersihan yang ditetapkan.

Saya ikut setiap garis panduan itu namun saya percaya semua ini dapat memastikan Refarm memiliki kualiti terbaik sebagai lokasi percutian pilihan.

Galeri Time Tunnel

Dalam usaha menjadikannya unik, Refarm merupakan satu-satunya tempat dimana pengunjung dapat mengenali sejarah Kampar melalui satu galeri terowong masa.

Di terowong masa ini, pengunjung dapat mempelajari sejarah pembangunan bandar Kampar daripada sebuah kawasan perlombongan bijih timah sehinggalah ia menjadi satu pesat membangun seperti sekarang.

Kemudahan Lain

Patrick berkata, selain berfungsi sebagai destinasi percutian, Refarm juga mempunyai kemudahan dewan yang boleh disewa bagi tujuan penganjuran majlis-majlis keraian dan program motivasi.

Kemudahan surau juga disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan Islam, katanya.

Katanya Refarm juga tidak ketinggalan menjadi lokasi pilihan bagi Raja Sehari bagi ingin merakamkan detik-detik manis mereka di mana bayaran yang dikenakan hanya RM100.

Tarikan lain adalah permainan ‘pedal boat’ dan penjualan madu organik, katanya.

Kafe Refarm – Segar dari ladang

Setelah penat menjelajah dan berseronok, pengunjung bolehlah merasai keenakkan makanan yang disediakan oleh Kafe Refarm.

Di kafe ini, pengunjung disajikan dengan makanan yang segar seperti sayur yang baru dipetik daripada kebun dan ikan yang baru dijala daripada kolam ikan yang diusahakan di sini.

“Kafe ini mendukung hasrat kerajaan negeri iaitu “makan apa yang kita tanam, tanam apa yang kita makan, selebihnya jual,” katanya.

Patrick berkata, dalam tempoh sebulan kolam-kolam ikannya boleh menyediakan hamper 500 kg ikan tilapia merah dan hitam.

Katanya selain kegunaan kafe, ikan-ikan ini dijual di kepada pembekal tempatan terutamanya pengusaha restoran.

Tambahnya, kesemua ikan mereka amat diminati oleh warga sekitar Perak kerana ianya diternak dalam keadaan sangat bersih, organic, berkualiti di dalam Refarm sendiri malah dijual dalam harga lebih murah berbanding nilai komersial.

Menu Pilihan

Antara menu pilihan pelanggan Kafe Reram adalah Ikan Tilapia Sos Istimewa Batong pada harga RM29, Rib Eye (RM28), Ayam Goreng Bersalut Kari (RM14), Sotong Goreng Bersalut Telur Masin (RM16),Udang Masak Ala Indonesia,

Pelanggan juga boleh memilih hidangan Aneka Sayuran Vegetarian.

Hidangan ini diiringi dengan aneka pilihan teh oriental serta minuman buah markisa segar dari ladang.

Perniagaan Keluarga

Patrick yakin Refarm yang merupakan satu perusahaan keluarga mampu muncul sebagai percutian berkonsepkan alam semulajadi yang mengutamakan setiap ringgit yang dibelanjakan.

Keyakinan beliau itu adalah atas dasar Refarm menepati kosep destinasi perlancongan agro yang menjadi daya tarikan Perak.

“Kami ingin melihat Refarm dikenali sebagai lokasi percutian yang sesuai untuk seisi keluarga, baik dari dalam dan luar Perak pada harga yang mampu bayar setiap keluarga.

Refarm juga memiliki kualiti alam semulajadi yang ada di Perak yang sememangnya dikenali semua,”katanya.

Katanya pengunjung tidak akan rasa menyesal kerana terlalu banyak aktiviti yang mengujakan menanti sepanjang mereka berada di sini.

Antaranya bersuka ria di kolam mandi, aktiviti berbasikal, penamanam sayur-sayuran organik, memancing, zon memberi makan haiwan, permainan layang-layang, jungle trekking dan bergambar di kawasan air terjun bagi mereka yang berjiwa lasak dan mencabar.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Patrick di talian 014-3680959

Refarm:

Lot 6059, Jalan Temoh-Kampar,
35350 Temoh, Perak

Waktu Operasi:

Taman Santai: 9 pagi- 6 petang

Ahad-Isnin ( Selasa Hari Penyelenggaraan)

Tutup pada Cuti Umum

Restoran Refarm:

11 pagi- 3 petang, 6 petang-10 malam

Waze: http://waze.to/lr/hw0zbq1mv0

Gooogle Maps : https://www.google.com/maps/place/REFARM+KAMPAR

Email: refarm.my@gmail.com