IPOH: Kerajaan negeri akan berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah perdagangan dan pelaburan oleh syarikat-syarikat dari Kanada melalui kerjasama dua hala yang dijalinkan oleh kedua-dua pihak.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri telah pun mengadakan perbincangan yang panjang bersama wakil negara itu untuk memastikan misi berkenaan dapat direalisasikan.

“Hari ini kita bincang panjang, banyak perkara berkenaan hubungan dua hala Perak dan Kanada, setakat ini kita sudah dapat beberapa pelaburan dari syarikat-syarikat Kanada tapi saya mohon agar pelaburan itu dapat dipertingkatkan lagi.

“Saya telah berbincang mengenai banyak projek-projek besar yang boleh dfikirkan untuk dibangunkan secara bersama dan diharapkan ianya akan menjadi kenyataan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media selepas menerima kunjungan hormat oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada Ke Malaysia, Julia G. Bently, Kaunselor Politiknya, Esther Van Nes dan Kaunselor Komersial dan Pesuruhjaya Kanan Perdagangan, Darcee Munroe di pejabat beliau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Julia berkata, terdapat banyak syarikat dari negara Kanada yang mempunyai minat untuk melabur dalam pelbagai bidang di negeri ini, khususnya pelancongan dan teknologi hijau.

“Melalui perbincangan, kita banyak menyentuh mengenai pelaburan dan perdagangan, antara bidang yang disentuh adalah teknologi hijau, pengurusan sisa dan pelbagai lagi.

“Ketika terdapat beberapa syarikat yang berminat dengan visi kerajaan negeri Perak, kita rasakan ia mempunyai potensi yang amat besar, jadi diharapkan kerjasama dua hala ini terus akan dapat diperkukuhkan serta membuahkan hasil,” ujarnya.