IPOH: Perak menangisi pemergian penyokong nombor satu sukan bola sepak negeri, Tan Chong Wah atau lebih dikenali sebagai Ah Wa, 46, yang meninggal dunia pada Isnin malam selepas koma selama lebih sebulan ekoran serangan strok.

Semasa hidupnya, Ah Wa yang juga merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) lembam disifatkan oleh ramai rakyat negeri itu sebagai penyokong bola sepak negeri yang tiada tolok bandingnya.

 “Ah Wa adalah contoh terbaik seorang penyokong sejati sukan negeri Perak kerana sanggup berkorban apa sahaja untuk menyokong pasukannya, sama ada kalah atau menang.

 “Saya masih ingat insiden dia ketinggalan bas untuk ke Kedah, dia mengambil inisiatif sendiri dan menaiki bas lompat dari Ipoh ke Kedah hanya semata-mata untuk melihat perlawanan pasukan kita,” katanya ketika ditemui pada upacara memperingati Ah Wa di Ipoh pada Selasa.

 Tambah Shahrul Zaman, meskipun mengalami kekurangan, Ah Wa telah menunjukkan contoh kesetiaan tanpa berbelah bahagi sebagai penyokong, walaupun pasukan kesayangannya itu tidak beraksi dengan cemerlang.

 “Beliau memang seorang lagenda, saya harap kita semua akan terus memberi sokongan kepada negeri sebagaimana Ah Wa melakukannya sepanjang hidup dia.

 “Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Ah Wa dan kita akan pastikan segala proses upacara pemergian mendiang berjalan dengan lancar,” ujarnya.

 Abang Ah Wa, Tan Chong Jin memberitahu, adiknya yang sering merayau seorang diri di sekitar bandar raya Ipoh itu, terlalu meminati bola sepak negeri sehinggakan sudah dua kali diragut ketika dalam perjalanan menyaksikan perlawanan.

“Dia pernah pulang ke rumah ibu saya dan minta wang untuk buat pasport kerana mahu ke Singapura untuk melihat pasukan negeri berlawan di sana dan itu pertama kali dia pergi ke luar negara.

 “Hidup dia memang ada tiga perkara sahaja iaitu wayang, bola sepak dan hoki. Keluarga merasakan pemergian mendiang adalah terbaik memandangkan keadaanya,” kata abang sulung kepada enam beradik itu.

 Tambah Chong Jin, sebelum Ah Wa meninggal dunia, mendiang sempat mengangkat tangan sebanyak tiga kali seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga.

 “Selepas koma sebulan lebih, minggu lalu dia sedarkan diri tetapi tidak boleh bergerak, cuma semalam sahaja kami terkejut kerana dia melambai kepada kami,” katanya.

 Ah Wa meninggal dunia di Hopital Raja Permaisuri Bainun pada jam 9.30 malam Isnin dan abu mendiang akan ditanam di Batu Gajah pada Rabu.