Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN SERAI: Penduduk di sekitar Kampung Padang Lalau resah dengan kehadiran beberapa ekor buaya di sekitar Sungai Kurau yang kini dikatakan mula mengganas dan mengganggu penduduk kampung berkenaan.

Lebih merisaukan, buaya-buaya yang dikatakan berhabitat di Sungai Kurau berhampiran Kampung Depan Balai dan Kampung Nibong Hangus itu juga seolah-olah mengamuk dan mengancam keselamatan penduduk setempat.

Susulan itu, Suara Perak cuba mendapatkan komen daripada Jabatan Perhilitan Negeri Perak mengenai aduan amukan buaya yang dikatakan sehingga menaiki bot nelayan dan cuba menterbalikkannya.

Pegawai Perhilitan Daerah Kerian, Zulkifli Othman berkata pihaknya telah menerima satu aduan mengenai gangguan buaya tembaga berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, hanya satu laporan ‘serangan’ buaya dilaporkan kepada Jabatan Perhilitan Daerah Kerian, namun pihaknya dimaklumkan sekurang-kurangnya empat kes lain tidak dilaporkan di kampung itu.

“Saya menerima aduan daripada seorang penduduk dari Kampung Nibong Hangus mengenai gangguan buaya pada 12 April lepas dan sehari selepas itu kami telah melakukan rondaan bersama dengan beberapa pegawai dan kakitangan.

“Pemantauan kami mendapati lokasi di Sungai Kurau merupakan habitat terbaik buat buaya-buaya berkenaan kerana ia muara sungai, pertembungan di antara laut dan sungai, sememangnya menjadi habitat utama haiwan jenis reptilia ini,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Isnin.

Katanya, buat masa ini beliau masih tidak dapat memberi kata pasti mengenai bilangan sebenar buaya di sungai berkenaan dan laporan telah dibuat ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Saya sendiri telah memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu pejabat dan mereka akan menghantar satu unit pasukan dari Unit Buaya Tembaga Perhilitan pada Mei ini untuk mengendalikannya.

“Kajian penuh mengenai keperluan memindahkan buaya atau mengenalpasti punca sebenar buaya-buaya berkenaan bertindak seperti yang didakwa akan dijalankan kerana ianya dikhuatiri akan terus menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk setempat,”ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai aktiviti buaya-buaya yang kini gemar “bersidai” di tepi sungai, Zulkifli menjelaskan bahawa ianya bergantung kepada kitaran hidup reptilia berkenaan.

“Setahu saya, buaya-buaya ini tidak akan mengganggu penduduk sesuka hati,cuma ada kalanya kita memacak kayu, jala ikan, di sarang buaya maka mereka akan bertindak ganas.

“Untuk laporan bahawa buaya berkenaan bersidai dan “santai” di tepi sungai, itu sememangnya kebiasaan adakalanya mereka ingin mencari tempat bertelur, mengawan dan berjemur,”katanya lagi.

Tambah beliau, habitat buaya berkenaan telah wujud sejak lama lagi dan kemungkinan besar faktor penempatan yang semakin padat sehingga ke tebing sungai itu telah mengganggu ekosistem habitat reptilia berkenaan.

Bagaimanapun, katanya pihak Perhilitan Daerah Kerian tidak pernah memandang ringan mengenai keselamatan penduduk dan bersedia untuk melakukan tindakan sewajarnya sekiranya keperluan mendesak.

“Di pihak kami, kami bersedia dengan perangkap buaya dan kelengkapan penuh untuk menjalankan sebarang operasi menangkap spesies dilindungi ini dan buat masa ini kami masih menunggu arahan daripada pihak atasan.

“Kami telah berjumpa dengan penduduk di sekitar Kampung Depan Balai, Kampung Nibong Hangus dan memberikan nasihat keselamatan dan amaran agar tidak mendekatkan diri dengan Sungai Kurau, untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa laporan mengenai kejadian terserempak dengan buaya pada tengah malam khususnya kawasan tidak bertiang lampu turut disuarakan penduduk di kedua-dua kampung itu, malah ada yang mengatakan buaya berkenaan mencari sumber makanan di kawasan penempatan penduduk berikutan bekalan makanan semakin terhad di Sungai Kurau.

Zulkifli berkata, ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat turut telah memaklumkan pihaknya turut bersetuju dengan tindakan Perhilitan yang akan memantau “amukan” buaya tersebut.

“Saya turut mencadangkan agar lebih banyak tiang lampu dan ciri-ciri keselamatan akan dilakukan di kampung yang terletak betul-betul di tepi sungai, agar buaya tidak cenderung untuk datang ke tempat bercahaya dan menggerunkan penduduk.

“Kami sedar ramai penduduk khususnya kanak-kanak berasa amat takut terhadap buaya-buaya ini dan kami di Perhilitan akan melaksanakan tindakan lanjut untuk melihat kepada kes ini,”katanya.