GERIK – Operasi pindah gajah di Kampung Tawai di sini, dilanjutkan lagi apabila Jabatan Perhilitan Perak berjaya menangkap tiga lagi haiwan itu, semalam.

Pemangku Pengarahnya, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, ia menjadikan keseluruhan enam gajah liar dipindahkan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum berhampiran.

“Kumpulan pertama melibatkan tiga Mek Tawai yang dipindahkan sejak Sabtu lalu dan sepatutnya berakhir semalam.

“Bagaimanapun, anggota Unit Tangkapan Gajah dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dikejutkan dengan kehadiran dua gajah betina dan seekor gajah jantan dalam operasi itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga gajah dianggarkan berusia 17 dan 18 tahun berdasarkan saiz tapak kaki berukuran 13 hingga 15 inci.

“Haiwan ini dikesan tersesat dari Hutan Simpan Papulut dan sering mengancam dan merosakkan tanaman penduduk berdasarkan aduan yang diterima minggu lalu.

“Bagaimanapun, haiwan itu dalam keadan baik dan khidmat Abot dan Rambai diteruskan untuk operasi kedua kali ini sebelum unit itu meneruskan perkhidmatan di Johor pula,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, beliau percaya ia merupakan kumpulan gajah terakhir yang dikesan mengganggu penduduk – sinar