IPOH: Jabatan Perhilitan giat menjalankan usaha dalam menangani konflik hidupan liar dengan manusia, ekoran aduan yang melibatkan kemusnahan tanaman di kawasan Selinsing.

Sehubungan itu jelas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, kerjasama daripada JKKK bersama agensi RELA dilaksanakan bagi mengatasi masalah babi hutan yang memusnahkan tanaman.

Menurut beliau, bagi suku tahun pertama 2016 (Jan-Mac), sebanyak dua aduan diterima dengan enam ekor babi hutan dilupuskan.

“Manakala 23 ekor telah dilupuskan pada tahun 2016 daripada keseluruhan 12 aduan yang diterima. Bagi suku tahun 2017 (Jan-Mac) tiga aduan di daerah Selinsing diterima dan operasi melibatkan pelupusan 17 ekor babi hutan dilaksanakan,” katanya ketika ucapan penggulungan di Sidang DUN pada Isnin.

Menurutnya, Jabatan Perhilitan komited dan mengambil berat berkenaan isu konflik antara hidupan liar-orang awam selain meminta kerjasama daripada masyarakat untuk mengadakan gotong-royong membersihkan semak samun.

“Operasi bersepadu dijalankan pada Mac 2017 dan sebanyak 14 ekor babi hutan dilupuskan. Antara kawasan yang terlibat adalah di Kg. Sg. Petani, Kg. Sg. Protan, Kg. Dew dan Parit Hj Ismail,” ujarnya.