KUALA LUMPUR: Jika ketika hari pertama Perhimpunan Agung UMNO 2016, Khamis lalu, Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) diselubungi dengan suasana biru, pada hari akhir Perhimpunan Agung UMNO Sabtu bertukar menjadi merah.

Ini berikutan perubahan warna pakaian para pemimpin dan perwakilan dari warna biru kepada merah.

Sesi penggulungan tahun ini menyaksikan ia kembali kepada tradisinya iaitu ucapan penggulungan akan dilakukan oleh pucuk pimpinan utama parti berbanding tahun lepas yang hanya dilakukan oleh presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tahun ini juga menyaksikan penggulungan Presiden hanya mengambil masa kira-kira sejam yang bermula jam 5 petang.

Beberapa pengamal media yang ditemui menganggap tempoh sejam adalah yang terpendek kerana berdasarkan pengalaman mereka, lazimnya ucapan penggulungan presiden mengambil masa sekurang-kurangnya satu setengah jam.

Perhimpunan Agung tamat pada 6.00 petang dan diikuti sidang media oleh pimpinan tertinggi parti.

Sepanjang tempoh perhimpunan, sebanyak tiga usul dibahaskan oleh wakil-wakil daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri dan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tiga usul itu ialah Ucapan Dasar Presiden, Ekonomi dan Agama & Pendidikan.