IPOH: Lebih 100 orang telah berhimpun secara aman di Bandaraya Ipoh pada pagi Ahad sebagai tanda solidariti terhadap kesengsaraan yang dihadapi umat Islam di Aleppo, Syria.

 

Pengerusi Aman Palestin Perak, Khairul Amin Ibrahim berkata, penganjuran perhimpunan yang dinamakan “Solidarity Walk Save Aleppo” itu merupakan kesinambungan program perhimpunan aman Palestin di hadapan kedutaan Rusia baru-baru ini.

“Kita membantah kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Rusia terhadap saudara kita di Aleppo.

“Sekiranya tiada tindakan atau kita hanya membiarkannya sahaja, kita tidak akan tahu apakah nasib saudara kita di sana.

“Perhimpunan ini menunjukkan kita bersama mereka di sana, kita ingin membawa mesej persaudaraan kepada saudara-saudara kita di Syria, Palestin dan juga etnik Rohingya di Myanmar,” katanya ketika ditemui pada Ahad di Jalan Raja Dihilir dekat Hotel Heritage.

Perhimpunan anjuran Aman Palestin Perak dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Perak itu turut dilakukan sempena program Ipoh Car Free Day oleh Majlis Bandaraya Ipoh.

Selain berjalan sepanjang Jalan Raja Dihilir sejauh hampir satu kilometer, penganjur perhimpunan itu turut mengadakan mini forum yang memberi maklumat mengenai sejarah pergelutan yang dihadapi Syria.

Sementara itu, Pengerusi ISMA Perak, Syed Salahuddin Syed Ayob menyifatkan keganasan yang dilakukan Rusia terhadap masyarakat Islam di Aleppo sebagai satu pencabulan terbesar terhadap hak asasi manusia.

“Ia satu kekejaman besar kerana ia bukan sahaja pada agama tetapi kepada hak asasi manusia itu sendiri, mereka dibunuh dengan kejam.

“Kebanyakkan mangsa dan rakyat di situ langsung tidak terlibat atau kena mengena dengan peperangan yang setakat ini telah mengorbankan banyak nyawa,” katanya.