KOTA SAMARAHAN: Penduduk Pangsapuri Desa Ilmu, di sini digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang sempurna sifatnya dalam tong sampah petang tadi.

Difahamkan, mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 1.30 petang oleh orang awam sebelum mereka menghubungi polis.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Superintendan Lee Chong Chern ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

“Anggota paramedik yang dikerahkan ke lokasi kejadian mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti ibu bayi berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya – berita harian