PERINTAH berkurung yang berkuat kuasa di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak menjejaskan sambutan Aidilfitri yang diraikan umat Islam.

Sebaliknya, orang ramai bebas bergerak menggunakan bot untuk mengunjungi saudara-mara yang menetap di pulau, malah mereka lebih yakin susulan kehadiran aset serta anggota keselamatan di kawasan perairan bandar ini.

Tinjauan NSTP ke jeti Kampung Baru, Batu 7 di Sandakan, mendapati orang ramai yang menggunakan jeti itu ke Pulau Nunuyan, sejauh 1.6 batu nautika dari sini, mula menaiki bot penambang seawal jam 6 pagi untuk ke perkampungan nelayan itu.

Rajis Rastum, 43, berkata, dia bersama isteri dan anaknya akan ke pulau itu setiap Syawal untuk mengunjungi keluarga.

Katanya, tiada rasa takut untuk ke pulau itu berikutan kewujudan pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA), selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menempatkan asetnya di sekitar perairan itu sebagai langkah keselamatan.

“Rasa bimbang cuma apabila cuaca kurang baik, terutama waktu petang yang menyukarkan perjalanan pulang ke tanah besar (Sandakan) kerana ombak besar,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Pengusaha bot penambang, Mohd Yusri Nordin, 42, berkata, jumlah penumpang meningkat setiap kali tiba Aidilfitri, dengan sekurang-kurangnya 10 bot yang boleh memuatkan 20 penumpang akan beroperasi, berbanding empat atau lima bot pada hari biasa.

Katanya, setiap bot berulang-alik mengambil dan menghantar penumpang lebih 10 kali sepanjang raya pertama hingga ketiga kerana ketika itu orang ramai yang ada keluarga di pulau itu menziarahi kubur dan mengunjungi sanak-saudara mereka.

“Pulau Nunuyan tidak termasuk dalam kawasan perintah berkurung kerana kurang tiga batu nautika dari pantai.

“Kami tidak rasa pergerakan terbatas, sebaliknya penduduk lebih yakin sebab perairan kita lebih terkawal dengan adanya penguatkuasaan keselamatan,” katanya.

Perintah berkurung yang dilaksanakan sejak 19 Julai 2014 dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah negeri ini, membabitkan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran, bermula jam 6 petang hingga 6 pagi.