KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan akan diputuskan berdasarkan tahap penularan terkini wabak COVID-19 minggu depan.

Perdana Menteri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bermesyuarat bagi menentukan langkah selanjutnya sebelum berakhir tempoh perintah terbabit iaitu pada 31 Mac ini.

“Sama ada kita nak lanjutkan akan diteliti dari segi perkembangan.

“Jika ada penambahbaikan dengan tindakan yang diambil Kementerian Kesihatan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak, terutama kumpulan tabligh yang masih berbaki belum keluar lagi itu, kemungkinan besar perintah ini menunjukkan kesan yang positif jika angka dan data yang akan datang lebih rendah.

“Tetapi sebelum tempoh tamat pada 31 Mac ini, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil memadai atau perlu dilanjutkan lagi selama seminggu atau dua minggu lagi. Ini akan kita kaji, sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan, Muhyiddin berkata, hasil laporan mendapati pematuhan kira-kira 90 peratus.

Justeru, beliau berharap kadar pematuhan perintah itu dapat mencapai 100 peratus.

“Dari satu sudut, ia boleh dikatakan berkesan tetapi jika ada pergerakan, kita mengharapkan ia dapat dikurangkan kepada paras yang minimum.

“Seperti yang kita maklumkan sebelum ini, apabila keluar hanya untuk mendapatkan barangan keperluan atau ubat-ubatan seperti yang kita maklumkan kepada polis sebelum ini. Cepat beli dan segera pulang ke rumah,” katanya.