Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perjuangan UMNO dalam membela negara bangsa bukan hanya bertumpu kepada orang Melayu sahaja tetapi lahir sebuah parti yang memastikan nasib seluruh rakyat terbela.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, asas perjuangan UMNO pada awal penubuhan adalah berlandaskan kepada kesatuan bangsa Malaysia dan jauh sekali melibatkan sentimen perkauman.

Katanya, nilai kebersamaan sewajarnya menjadi tunjang dalam perjalanan sebuah parti dan perjuangan itu telah menjadi DNA UMNO sejak sekian lama.

“Saya ingin menyatakan betapa pentingnya konsep Barisan Nasional didukung oleh semua saf dalam komponen BN, kerana pada awal kewujudan kita bersandarkan kepada prinsip kebersamaan, semangat setiakawan dan UMNO bukan parti bersendirian.

“Itu kekuatan kita sebagai satu negara bangsa dan negara kita tidak ada tempat untuk mereka yang berfikiran sempit, atau yang hanya memikirkan satu kaum kerana sejak awal penubuhan apa yang terbit dalam benak pemikiran adalah bagaimana mewujudkan kebersamaan.

“Parti lain cuba nak tiru, bubuhlah nama apa sekalipun, mereka tidak boleh meniru konsep tulin dan asli yang dibawa oleh Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tambun di Hotel Casuarina Meru di sini pada Ahad.

Annuar berkata, pertelingkahan pernah berlaku di dalam UMNO seperti pernah dikafirkan semata-mata kerana berkawan dengan kaum lain, namun ianya tidak pernah mematahkan semangat kebersamaan dan perjuangan parti.

“Bagi orang Islam, dituduh kafir adalah perkara paling berat dalam hidup tetapi kita beristiqamah, kita tidak pernah meninggalkan rakan-rakan kita dari pelbagai kaum.

“Ini kerana, kita yakin pendekatan UMNO adalah satu-satunya kaedah yang telah diuji begitu lama secara organik malah tumbuh berperingkat berasaskan pemahaman pemimpin terdahulu,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO bukan ditubuhkan berdasarkan kesempatan dan kemudahan atau untuk menentang musuh yang sama tetapi atas dasar muafakat yang didokong oleh semua parti komponen.

“Saya harap, roh dan semangat perjuangan kita di akhir nanti menjadi pegangan oleh saf pimpinan kita, kita utamakan parti, tidak boleh utamakan soal-soal individu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Annuar bercadang untuk membawa jentera penerangan UMNO melaksanakan program jelajah dalam usaha mendekati kelompok kecil di seluruh negara.

‘Sebaik sahaja selesai persidangan perwakilan, saya akan menjelajah untuk bercakap mengenai roh dan semangat perjuangan,kerana kita jangan asyik bercakap mengenai isu yang tidak habis tetapi melupakan soal dasar, kita kena mengalakkan masyarakat memikirkan asas kukuh.

“Kita boleh marah kepada kerajaan, kita boleh tegur kerana kita bukan kerajaan sempurna, begitu juga dengan pemimpin tetapi kita tidak boleh ikut sentimen emosi apatah lagi perkauman dan mempergadaikan negara dengan memberi mandate kepada gabungan rapuh,” tambahnya.

Katanya, rakyat Malaysia harus sedar bahawa keperluan dan untung nasib adalah terlalu besar untuk diperjudikan dengan meletakkan harapan pada sebuah pakatan atau parti yang rapuh tampuk kepimpinan serta hala tujuannya.