TITI SERONG – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Utara mencadangkan sebuah akta baharu perlu digubal bagi menggantikan Akta Bahan Lusuh 1946 yang tidak lagi relevan untuk membendung kes kecurian kabel.

Pandangan itu disuarakan Ketuanya, Ismail Othman yang berpendapat kadar hukuman rendah dikenakan ke atas pesalah kes kecurian kabel menyebabkan pelaku jenayah tidak takut melakukannya berulang kali.

Menurutnya, kes kecurian kabel sebenarnya memberi kerugian sangat besar syarikat penyedia kemudahan jalur lebar memandangkan kos pemasangan kabel sebenarnya sangat tinggi.

“Saya difahamkan hukuman bagi kesalahan jenayah di bawah Akta Bahan Lusuh 1946 hanyalah denda dan penjara tidak sampai lima bulan.

“Kami fikir akta itu perlu diperkasakan atau gubal satu akta khas bagi membendung insiden kecurian kabel daripada terus berleluasa.

“Saya yakin cadangan ini mampu direalisasikan dengan sokongan wakil rakyat dan pemimpin setempat,” katanya pada sidang media sewaktu lawatan Exco Komunikasi, Multimedia,NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim ke Pusat Internet Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, SKMM Wilayah Utara bercadang membina 50 pemancar baharu di wilayah itu tahun ini.

Menurutnya, pembinaan itu bagi membolehkan liputan meluas di kawasan yang masih menghadapi masalah liputan yang rendah.

“Kita juga telah menaiktaraf kawasan liputan dari 0.6 Megabait (MB) kepada 1MB untuk kemudahan telefon selular.

“Peningkatan liputan itu bertujuan menangani kes kecurian kabel jenis ‘copper’,” katanya.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain sewaktu ditemui memaklumkan Pusat Internet Malaysia akan dijadikan pusat operasi media Sukan Malaysia (Sukma) yang akan diadakan Sept ini di 12 daerah.

Menurutnya, pihaknya akan menulis surat kepada SKMM untuk memudahkan wartawan yang membuat liputan Sukma nanti.

“Kerajaan negeri berbesar hati SKMM sedia menawarkan kemudahan di pusat berkenaan kerana kerajaan negeri kekurangan bajet dalam menyediakan pusat media di setiap daerah,” katanya – sinar