IPOH: Semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan bahasa Melayu terus perkasa dan tidak terpinggir dalam cabaran globalisasi, khususnya dalam sistem pendidikan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, semua pihak mesti bertanggungjawab meletakkan bahasa itu pada landasan yang betul, bukan hanya terpikul di atas bahu para pendidik.

Menurut beliau, kelangsungan bahasa Melayu dalam abad ke-21 ini amat bergantung kepada kesediaan rakyat sebagai pengguna yang sepatutnya sentiasa menggunakan bahasa tersebut.

“Tidak kira sama ada bahasa Melayu itu berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi atau bahasa penghantar dan apa-apa juga fungsinya yang lain.

“Kitalah yang sepatutnya mengeksplotasi sebanyak mungkin kecanggihan dan keunikan yang terdapat pada bahasa Melayu agar ia terus hidup, sesuai dan dinamik untuk digunakan serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Forum Institut Pendidikan Guru (IPG) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8, Piala Menteri Besar Perak di IPG Kampus Ipoh di sini, pada Khamis.

Sambil tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, Ahmad Faizal berkata, bahasa Melayu tidak wajar dipinggirkan kerana bahasa kebangsaan sesebuah negara itu menggambarkan identiti negara yang harus didaulatkan dan diperkasakan.

Menurutnya, antara halangan utama yang dilihat hari ini ialah terdapatnya persepsi masyarakat sendiri yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa tidak maju dan tidak berdaya saing.

“Mereka sentiasa memandang enteng kepentingan bahasa ini dan lebih cenderung menghormati penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sebagai penanda aras kehebatan sesebuah negara,” ujarnya.

Dalam hubungan ini, beliau berpandangan pertandingan forum yang dianjurkan dapat memberi kemahiran dan pengalaman kepada para peserta untuk berinteraksi menggunakan sebutan baku dengan penggunaan bahasa yang betul.

Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian di dalam pertandingan itu yang diadakan kali kelapan, bagi merebut Piala Menteri Besar Perak.

IPG Kampus Sultan Abdul Halim muncul juara manakala IPG Kampus Pulau Pinang kedua, IPG Kampung Bahasa Melayu ketiga dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) keempat.

Juara menerima wang tunai RM1,500 beserta hadiah iringan manakala kedua RM1,000, ketiga RM800 dan keempat RM600.

Elisieeli Duasin dari IPG Kampus Pulau Pinang terpilih sebagai ahli panel terbaik sementara Muhamad Zain Zaidiel Zainan dari IPG Kampus Sultan Abdul Halim terpilih sebagai pengerusi forum terbaik. Masing-masing menerima wang tunai RM200 dan hasiah iringan.