IPOH: Orang Melayu dan umat Islam perlu membangunkan semula institusi wakaf dalam bentuk baharu sesuai untuk menguasai perniagaan dan korporat, sekaligus mempertahankan hak milik kekal berpanjangan.

Pengerusi Awqaf Holdings Berhad, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kaedah yang dianjurkan ialah menerusi penubuhan institusi wakaf khas berdasarkan Wakaf Korporat iaitu dengan menggabungkan kelebihan yang ada pada kedua-dua wakaf itu.

Menurut beliau, dalam situasi ekonomi yang tenat, bangsa Melayu dan umat Islam tidak mempunyai pilihan selain menggubal dan melaksanakan strategi ekonomi ‘darurat’.

“Kita anjurkan supaya umat Islam, khasnya generasi muda Malaysia menyempurnakan tuntutan menjayakan sunnah berniaga, namun bukan untuk menjadi kaya atau menimbunkan harta semata-mata, sebaliknya menjadikannya sebagai satu jihad fi sabilillah,” katanya semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk Jihad Ekonomi Memperkasa Umat sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa.

Beliau berkata, pegangan hak milik aset dan harta semakin mengecil dan terhakis apabila bahagian terbesar dimiliki oleh bukan Muslim, termasuk warga swasta dan badan korporat asing.

“Pendapatan purata bangsa Melayu dan umat Islam terlampau rendah berbanding warga Malaysia dan umat lain yang lebih maju.

“Ada juga yang ketinggalan jauh dan majoriti bergantung hidup samada kepada kerajaan atau kuasa besar lain,” ujarnya yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Muhammad Ali menjelaskan, konsep institusi Wakaf Korporat bukan satu teori atau slogan kosong memandangkan ia memfokuskan dua model Wakaf Korporat Berjaya yang sudah pun dilancarkan di Malaysia.

Perjuangan Jihad Bisnes di samping institusi Wakaf Korporat adalah satu gabungan strategi yang berupaya mempertingkatkan sistem ekonomi untuk menjadikannya lebih adil dan saksama.

“Aspirasi muktamad adalah untuk membangunkan landasan ekonomi alternatif yang tidak hanya membiarkan pembolotan harta kekayaan oleh golongan satu peratus yang kaya daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau menambah, wakaf itu juga dapat membela nasib golongan 90 peratus warga bawahan yang lemah dan daif daripada terus dipinggir, ditekan dan dizalimi tanpa pembelaan.