IPOH: Tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memproses segera permohonan keluarga pencarum, meringankan beban kewangan mereka menyambut Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi.

c25cee92-5e1c-4c95-ab42-2f3cdd7f2e48Tindakan segera PERKESO itu membolehkan empat anak Allahyarham Hazla Rizal Abdul Khalid, 42, menerima faedah pengurusan jenazah, yang boleh digunakan sebagai persiapan Hari Raya.

PERKESO menyerahkan cek RM1,500 sebagai faedah pengurusan jenazah kepada anak sulong Allahyarham, Muhammad Ammar, 17, di rumahnya di Taman Perpaduan Raya, Ulu Kinta pada Jumaat.

Cek diserahkan Penghulu Mukim Ulu Kinta, Abd Razak Mansor yang disaksikan Pengurus PERKESO Negeri Perak, Noorhanita Mohamad, dan bekas isteri pencarum, Normawati Mohd Dani.

Hazla Rizal yang menerima pencen ilat sebanyak RM1,416 sejak Julai 2016, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Mac 2017.

Norhanita memberitahu, selain faedah pengurusan jenazah, anak-anak allahyarham juga menerima pencen penakat sebanyak RM849.60 sebulan atau RM212.40 setiap seorang.

“Pencen ini akan dibayar sehingga anak-anak arwah mencapai umur 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Sementara itu, Muhammad Ammar melahirkan rasa syukur dengan bantuan itu di samping pencen bulanan yang akan diterima oleh dia dan adik-adiknya.

“Lepas ini saya dan adik-adik mungkin boleh membeli barangan keperluan yang diingini sebelum ini,” kata pelajar Tingkatan 5, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik itu.

Ibunya, Normawati, 43, guru Sekolah Kebangsaan Raja Chulan pula berkata, dengan adanya pencen bulanan itu, dapat meringankan beban kewangan

“Terima kasih kepada pihak PERKESO kerana melakukan segala proses dalam masa seminggu sahaja,” ujarnya.