Oleh: Nazialita Geynna Maharan

CHEMOR: Buntu memikirkan kos pembiayaan perubatan yang menggunung, seorang bekas pengawal keselamatan menarik nafas lega apabila menerima cek faedah upaya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

V Gopalan, 61, berkata, pemberian itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepadanya apatah lagi dengan perayaan Deepavali yang bakal tiba seminggu lagi.

Bagaimanapun, katanya, persiapan untuk menyambut perayaan itu pada tahun ini terasa agak berlainan kerana dia masih merasa sedikit kekejangan dan perlu berehat akibat kemalangan pada dua bulan lepas.

Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan dirinya terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan memerlukan bantuan isterinya bagi melakukan kerja seharian.

“Kemalangan berlaku ketika saya balik dari tempat kerja pada pukul 7 malam. Secara tiba-tiba, sebuah motosikal melanggar kaki saya sehingga saya terjatuh dari motosikal.

“Saya tidak sedarkan diri dan saya cuma dimaklumkan kaki saya patah, muka cedera parah dan dua batang gigi patah, sebaik sahaja saya sedar di hospital.

“Selama seminggu di wad, isteri dan anak menjaga saya tetapi sebulan kemudian, kaki saya dibedah untuk dimasukkan besi. Buat masa ini, saya terpaksa menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mas, Chepor di sini pada Rabu.

Bapa kepada tiga anak itu berterima kasih kepada Perkeso kerana membantu meringankan beban kewangan sepanjang dia bercuti sakit.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perkeso Perak, Mohamed Meskhan Alpiah berkata, Gopalan layak untuk menerima faedah hilang upaya sementara dari tempoh 18 Julai hingga 20 September 2017 sebanyak RM1,950.

Katanya, faedah ini akan diberikan secara berperingkat sepanjang Gopalan bercuti sakit namun sekiranya selepas rawatan, beliau mempunyai kecacatan kekal, dia boleh memohon faedah hilang upaya kekal.

“Perkara itu akan disahkan oleh beberapa panel doktor terlibat untuk memastikan berapa peratus kecacatan kekal yang dihadapinya. Daripada tafsiran itu, Perkeso akan bayar atau berdasarkan syor-syor daripada doktor tentang keperluannya,” katanya.

Mohamed Meskhan berkata, dengan sumbangan itu, sekurang-kurangnya dapat membantu Gopalan sekeluarga membuat persediaan menyambut Deepavali pada minggu hadapan.

Tambahnya, selain Gopalan, Perkeso turut memberikan sumbangan sama kepada tiga lagi penerima di sekitar Ipoh sempena Deepavali.