IPOH – Kerajaan negeri akan memperketatkan lagi permohonan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan peruntukan untuk melaksanakan program.

Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan peruntukan yang disalurkan kepada NGO dapat benar-benar dimanfaatkan oleh masyarakat.

Katanya, keutamaan bagi mendapatkan peruntukan itu akan diberikan kepada NGO-NGO yang menjalankan program berbentuk kemasyarakatan dan keagamaan.

“Kita mahu NGO-NGO menjalankan program-program yang memberikan manfaat kepada rakyat. Kita tak nak program-program hiburan atau program-program syok sendiri.

“Saya juga menegaskan sebarang kelulusan peruntukan perlu dipastikan sama ada NGO tersebut berdaftar atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua DPIM Perak, Datuk Zahar Hashim.

Hasnul Zulkarnain berkata, di Perak terdapat 6,800 NGO berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan tetapi yang aktif hanya sekitar 100 NGO.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau NGO-NGO yang menerima peruntukan kerajaan bagi melihat sejauhmana mereka menggunakan peruntukan tersebut sebelum mereka memohon lagi peruntukan.

“Setakat ini, semua NGO yang mohon saya luluskan peruntukan kerana berdasarkan kertas kerja kita nampak apa program yang nak dibuat. Peruntukan memang ada dan kita kena habiskan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Jadi tak ada masalah untuk mana-mana NGO memohon peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu mengenai cadangan agar NGO-NGO ini diaudit, Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya akan melihat secara terperinci cadangan tersebut.

Katanya, cadangan tersebut amat baik tetapi bagi NGO yang kecil mungkin tidak mampu untuk melaksanakannya – sinar