IPOH: Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak akan memperkenalkan konsep 1Serve satu kaunter pelbagai perkhidmatan pelbagai agensi yang pertama kepada rakyat di negeri ini bermula Februari tahun depan.

 

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Ismail, perkhidmatan 1Serve ini melibatkan empat agensi iaitu jabatan perkhidmatan awam (JPA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN0, Jabatan Imigresen(JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Mohamad Zabidi berkata, UTC Perak merupakan UTC di negara ini yang menerima hadiran paling ramai pelanggan iaitu berjumlah 2 juta pelanggan setahun.

 

Menurut beliau, para pelanggan yang membuat pelbagai urusan di kaunter-kaunter empat agensi terbabit hanya mengambil masa yang singkat iaitu 10 minit berbanding antara 30 minit hingga 45 minit sebelum ini.

 

“Dengan kehadiran dua juta pelanggan setahun di UTC Perak ini maka sudah pasti kita memerlukan satu lagi pendekatan yang kreatif iaitu dengan menyediakan projek rintis 1Serve ini bagi memudahkan orang ramai berurusan di satu kaunter pelbagai agensi dalam tempoh masa yang singkat,’’ katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Apresiasi dan Pra Pelancaran 1Serve@UTC Perak di UTC perak, Ipoh pada Jumaat. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Menurut Mohamad Zabidi, selepas UTC Perak, projek rintis 1Serve ini akan diperluaskan ke UTC di lain-lain negeri.

 

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, inisiatif 1Serve merupakan transformasi yang digagaskan kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

 

“Ia bertujuan memberi penambahbaikan kepada perkhidmatan kaunter kerajaan yang sebelum ini mengamalkan konsep satu kaunter satu perkhidmatan kepada konsep satu kaunter pelbagai perkhidmatan pelbagai agensi,” katanya.

 

Katanya, perluasan inisiatif 1Serve diperingkat UTC juga diharapkan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih optimum dan efisien kepada rakyat serta dapat memaksimumkan perkhidmatan kaunter di peringkat sektor awam.