IPOH: Perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) antara terminal ke pesawat perlu diadakan bagi meningkatkan kecekapan pengendalian penumpang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr ambry Abd Kadir, kerajaan negeri melihat isu perkhidmatan bas shuttle ini sebagai satu perkara yang mudah dan boleh dilaksanakan untuk kemudahan orang ramai terutama penumpang pesawat di lapangan terbang berkenaan.

“Saya berharap pihak Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Berhad dapat membantu menyediakan perkhidmatan bas ulang alik ini lebih-lebih lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Perak.

Ketiadaan kemudahan ini agak menyulitkan penumpang terutama ketika musim hujan pada ketika ini dimana mereka boleh basah ketika hendak menaiki pesawat kerana terpaksa berjalan agak jauh dari terminal,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, beliau melihat isu perkhidmatan bas `shuttle’ ini boleh diadakan dengan menggunakan perkhidmatan bas tempatan yang sedia ada di bandaraya Ipoh ini.

“Kita sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat bas sedia ada di sini bagi menyediakan perkhidmatan bas `shuttle’ di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah untuk kepentingan para penumpang yang berurusan di lapangan terbang itu,’’katanya.

Mengenai laluan pejalan kaki berbumbang, katanya, beliau menganggap laluan itu tidak mampu menyelesaikan masalah kerana penumpang masih boleh basah sekiranya hujan lebat dan angin kuat.

Katanya, beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Nolee Asyilin untuk melihat perkara itu dan mengambil tindakan susulan mengenainya.