PUTRAJAYA: Tempoh perkhidmatan Datuk Zamri Man sebagai Datuk Bandar Ipoh telah dipendekkan mulai 17 Feb lepas atas faktor kesihatan, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam kenyataan hari ini berkata Zamri telah ditempatkan di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mulai 18 Feb bagi menjalani rawatan pemulihan.

“Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengenal pasti calon pengganti yang bersesuaian dan akan melaksanakan pengisian jawatan tersebut dalam masa terdekat,” kata JPA.
Justeru, JPA berkata dakwaan bahawa Zamri akan disingkirkan daripada jawatan itu kerana menghilangkan diri selama beberapa bulan adalah tidak tepat.

Pada Ahad lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong dilaporkan berkata Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dilantik selewat-lewatnya hujung bulan ini bagi menggantikan Zamri yang dikatakan ‘menghilang’ tanpa berita.

Menurutnya Zamri tidak hadir bertugas tanpa cuti (AWOL) dan tidak mengemukakan sebarang sijil sakit selama beberapa bulan.

— BERNAMA