IPOH – Kerajaan negeri Perak telah membuat keputusan untuk memulakan proses pelantikan ketua kampung yang baharu mulai 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, pelantikan 859 individu itu perlu dibuat selepas kerajaan negeri memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan ketua kampung sedia ada pada penghujung bulan ini.

“Sementara ini sama ada tugas mereka itu akan ditamatkan atau dipilih semula itu bergantung kepada pencapaian individu berkenaan sendiri di kawasan masing-masing, mungkin ada di kalangan mereka akan dikekalkan jika mereka boleh beri kerjasama dengan kerajaan negeri baharu.

“Kita akan lihat nama-nama yang bakal dicadangkan oleh penghulu, pejabat daerah dan juga parti di peringkat sesuatu kawasan tersebut, dari senarai nama-nama cadangan itu baru kita akan buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 100 asnaf di sekitar Manjoi pada Ahad.

Kata Asmuni lagi, terdapat segelintir ketua kampung telah pun menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri dan terdapat juga yang sudah meletak jawatan.

“Ada sebahagian mereka sudah pun meletak jawatan sendiri tanpa diarahkan, mereka berikan alasan oleh sebab mereka dipilih oleh kerajaan lama (BN) serta menyokong prinsip parti mereka, jadi mereka rasakan tidak sesuai serta tidak mampu menjalankan tugas lagi.

“Saya hormati keputusan dilakukan itu walaupun sedikit sebanyak telah memberi gangguan kepada kampung-kampung yang terliabt kerana kini tidak mempunyai ketua kampung,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, proses pemilihan ketua kampung itu juga akan dibuat melalui proses lantikan dan bukan melalui proses pemilihan oleh penduduk.

“Semuanya akan dilantik, peringkat permulaan ini kita merasakan tidak sesuai untuk melakukan proses pemilihan walaupun di dalam manifesto kita menyatakan mahu melakukan proses demokrasi.

“Tapi kita perlukan proses ini berjalan dengan lancar serta berkesan terlebih dahulu, kita putuskan untuk melantik terlebih dahulu kemudian untuk tahu kedua atau ketiga selepas ini baru proses pemilihan dilakukan,” ujarnya.