IPOH: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin selaku penasihat Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Pakatan Harapan Perak di samping mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, terdapat pelbagai komen dan reaksi yang diterima khususnya dari pendokong parti Pakatan Harapan berhubung isu tersebut.

“ARMADA PPBM Perak yakin bahawa keputusan YAB Menteri Besar Perak ini pastinya dibuat setelah pertimbangan yang sewajarnya, dalam usaha mengukuhkan kedudukan dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami menghormati pandangan yang berbeza dari pihak lain namun kita perlu berhati-hati dan menyelidiki sebelum mengutarakan sesuatu isu,” ujar Mohd Hafez dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, keputusan dua wakil rakyat daripada Barisan Nasional iaitu Zainol Fadzi dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi meninggalkan parti yang diwakili sebelum ini, bukan sesuatu yang mudah.

“Pastinya bukan mudah untuk menjelaskan kepada para pengundi di kawasan mereka dalam tempoh terdekat ini, namun demi kepentingan yang lebih ramai iaitu keseluruhan rakyat Perak, mereka tinggalkan parti untuk bersama-sama Pakatan menubuhkan kerajaan.

“Saya menyeru buat semua penjuang Pakatan Harapan Perak yang menyumbang kepada penzahiran cita-cita rakyat Perak yang mahukan perubahan, telah membantu mengangkat martabat kita dari pembangkang kepada kerajaan,”ujarnya.

Sementara itu beliau menyeru kepada rakyat Perak untuk menghayati budaya berkasih sayang selain mengambil pengajaran di atas semua peristiwa yang berlaku sebelum ini.

“Ambillah pengajaran dari apa yang pernah berlaku pada mereka yang pernah diberi amanah sebelum ini, hilang arah tuju kerana meletakkan agenda peribadi mengatasi apa yang diperjuangkan, akhirnya tersungkur disingkirkan rakyat.

“Pupuklah budaya berkasih sayang, suatu yang sering diungkapkan oleh Peja Azumu (YAB Ahmad Faizal Azumu), ungkapan ini biasa-biasa saja namun hasilnya amat luar biasa dalam usaha merangka sebuah kecemerlangan,”katanya.