IPOH– Kerajaan negeri menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menjadikan empat destinasi di Malaysia termasuk Perak mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata setakat ini kerajaan negeri masih mempertimbangkan hasrat tersebut ekoran wujud beberapa kekangan yang perlu dihadapi sekiranya ia direalisasikan.

“Royal Belum bukan setakat warisan negara malah warisan dunia, jadi memang sesuai kalau kita usahakan menjadi tapak warisan UNESCO, bila seluruh dunia dan duta dari luar negara yang memuji bagaimana kita mengawal kawasan hutan.

“Ia seluas empat kali Singapura dan berusia 137 tahun, tapi ia tidak mendatangkan hasil kepada negeri (jika diiktiraf UNESCO), kalau rakyat dan orang ramai nakkan kerajaan negeri tidak menebang pokok, mesti ada pendapatan lain untuk diberikan pula kepada rakyat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di program Slot Pagi Bersama Mb di Konti PerakFM pada Rabu, yang turut sama pengarah terkenal, Mamat Khalid.

Tambahnya, beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat memikirkan sumbangan lain yang boleh diberikan kepada negeri Perak sekiranya Royal Belum diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Di Taman Negeri Royal Belum umpamanya banyak masalah yang kita hadapi dan perlukan perbelanjaan tinggi, seperti memperbanyakkan pegawai-pegawai renjer untuk kawal penerokaan balak haram dan pemburu haram.

“Perkara ini kita perlu timbang baik-baik dan saya harap kerajaan Persekutuan benar-benar memahami kekangan dari pihak negeri, walaupun kita semua sambut baik usaha itu,”ujarnya.

Semalam, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menerusi Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata pihaknya sedang mendapatkan persetujuan daripada beberapa kerajaan negeri untuk membolehkan empat lagi destinasi di Malaysia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Empat tapak itu adalah Taman Negara; Royal Belum di Gerik, Permatang Kuarza di Gombak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).