Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri Perak perlu mematuhi beberapa syarat Operasi Pematuhan Standard (SOP) sebelum mewartakan mukim Matang sebagai kawasan bebas penyakit anjing gila atau Rabies dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beberapa prosedur perlu diambil sebelum kerajaan memutuskan mukim Matang bebas daripada risiko jangkitan Rabies.

Sebelum ini, lima sampel kepala anjing yang diambil sekitar Kuala Sepetang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) dan disahkan negatif daripada virus Rabies.

“ Antara langkah yang akan dilaksanakan adalah seperti mengambil sampel dan mengetahui keputusannya, dan jika dibuktikan negatif, tempoh inkubasi perlu dinilai secara teliti sebelum diwartakan sebagai kawasan bebas Rabies.

“Kita tahu tempoh inkubasi adalah agak lama tetapi kita kena faham bahawa ianya amat bergantung kepada sampel, sebab itulah kita amat menitikberatkan keputusan sampel tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Asean ke-10 mengenai Penjagaan Kesihatan Teras di Hotel Kinta Riverfront.

Dr Mah selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Rabies Perak juga menegaskan, sehingga hari ini tiada laporan kes jangkitan atau disyaki jangkitan rabies yang diterima di negeri ini.

“Saya nak tegaskan, tiada satu kes disyaki, atau kes jangkitan rabies di kalangan manusia atau yang meninggal dunia disebabkan penyakit ini di negeri ini.

“Di Perak, kita mengambil langkah-langkah cukup proaktif dalam memastikan kawalan jangkitan dan tiada penularan rabies terhadap manusia dan haiwan,” katanya lagi.

Sebelum ini, dua kanak-kanak perempuan yang terkena gigitan anjing peliharaan mereka yang disahkan dijangkiti rabies telah menerima vaksin setiap hari pertama, ketiga, ketujuh dan ke-14 serta dilaporkan berada dalam kesihatan normal buat masa ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, sekiranya semua sampel dalam lingkungan satu kilometer radius didapati negatif daripada virus rabies maka survelan aktif masih perlu dilakukan sepanjang 10 kilometer.

Jelas jabatan itu, pewartaan kawasan berkenaan sebagai bebas rabies boleh dilaksanakan dengan syarat keputusan ujian sampel adalah negative namun kata putus perlu dibuat oleh ibu pejabat JPV di Putrajaya.